suria

MAS Beralih Ke Fasa Penyusunan Semua Seterusnya

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd mendapat manfaat daripada momentum menggalakkan dalam suku pertamanya dan kini beralih ke fasa seterusnya dalam penyusunan semulanya.

Dalam laporan kemas kini suku tahunan pertamanya yang dikeluarkan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata antara pencapaian dalam tempoh tersebut ialah prestasi tepat masa (OTP) yang bertambah baik sejak ia menjadi entiti baharu pada 1 September 2015, dengan 89.8 peratus OTP sehari meskipun gangguan utama yang disebabkan oleh jerebu baru-baru ini.

Hasil untuk setiap tempat duduk untuk setiap kilometer bagi suku tersebut meningkat tahun-ke-tahun dengan faktor muatan tempat duduk juga mencatatkan peningkatan.

"Banyak lagi yang kami perlu lakukan tetapi rakan kongsi sedia ada dan baharu kami yakin dengan kejayaan kami dan Malaysia Airlines telah berada di laluan untuk meletakkan kembali kami menjadi satu daripada syarikat penerbangan utama dunia," kata Ketua Pegawai Eksekitif Kumpulan Christoph Mueller.

Permintaan dari China dan Asia Utara menunjukkan unjuran positif, disokong oleh peningkatan permintaan kemasukan pelancong, kata syarikat penerbangan itu.

Bagi memanfaatkan peluan ini, Malaysia Airlines memeterai perjanjian untuk mengendalikan 180 penerbangan sewa khas tambahan dari China ke Sabah.

Syarikat penerbangan itu akan memperkenalkan lebih banyak penerbangan sewa khas dari bandar raya utama terpilih di China di luar rangkaiannya, selain 180 yang sedia ada, bagi menampung peningkatan minat kemasukan pelancong.

Malaysia Airlines juga akan membuka tujuh pangkalan kru baharu di Malaysia untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sambungan di rangkaian domestik.

Langkah itu melibatkan sejumlah 18 Boeing 737-800s ditempatkan semula dengan juruterbang dan kakitangan kru kabin tempatan ke pangkalan tetap di Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Labuan, Kota Baharu, Pulau Pinang dan Johor Baharu. 

Syarikat penerbangan itu juga memohon untuk melanjutkan perjanjian kontrak luar bandarnya dengan Kementerian Pengangkutan bagi mengukuhkan lagi perkhidmatan pengangkutan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Bagi memastikan kemudahan dan sambungan yang lebih baik kepada pelanggan, syarikat penerbangan itu berhasrat untuk menyusun semula operasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menumpukan operasi di terminal utama.

Rancangan itu yang dijangka dilaksanakan awal tahun depan akan memastikan sambungan yang cepat bagi penumpang ASEAN antara penerbangan antarabangsa dan domestik. 

Malaysia Airlines berkata perkhidmatan sewa khasnya mencatatkan kejayaan besar dengan operasi Umrah menerbangkan jemaah ke Madinah menggunakan pesawat A380-800. 

"Tahun ini menyaksikan peningkatan kapasiti daripada 282 tempat duduk kepada 494 setiap penerbangan bagi 45 penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madinah," kata syarikat itu.

Proses rundingan semula kontrak akan diteruskan ke 2016 kerana syarikat penerbangan baharu itu hanya membenarkan perjanjian pajakan permit pada kadar pasaran kompetitif. 

Malaysia Airlines berkata kebanyakan kontrak pajakan pesawat masih dalam urusan Malaysian Airline System Bhd, yang berada dalam pentadbiran. 

Inisiatif penjimatan kos ketara telah dikenal pasti dalam kumpulan penerbangan baharu itu, dengan lebih daripada 10 anak syarikatnya. 

Syarikat penerbangan itu berkata tumpuan utama adalah rundingan semula kontrak tidak kompetitif dengan pembekal.

Malaysia Airlines juga melupuskan aset tidak ketaranya bagi menumpu dan menguruskan dengan lebih baik lagi perniagaan terasnya. 

Suku itu juga menyaksikan inisiatif produk baharu dengan pengenalan tempat duduk boleh baring kelas perniagaan premium bagi pesawat A330-300. 

Tempat duduk tersebut akan diperkenalkan mulai April 2016 di semua pesawat A330-300 dan proses penukarannya akan selesai pada September 2016. 

Penawaran produk baharu dan ditambah baik yang sedang dirancang termasuklah konsep katering baharu di semua kelas penerbangan dan Wi-Fi semasa penerbangan. 

"Kami berusaha keras untuk menukar struktur syarikat penerbangan pada dasarnya, luar dan dalam. Ini akan melibatkan mengkaji proses, kecekapan dan kawalan kos yang lebih ketat," kata Mueller. 

Sementara itu Malaysia Airlines akan menambah kodnya bagi penerbangan Emirates ke Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika.

Sebagai pulangan, Emirates akan menambah kodnya bagi penerbangan Malaysia Airlines ke laluan domestik di Malaysia, Asia Tenggara dan bandar raya terpilih di rantau Asia Pasifik. -- Bernama

MAS, Christopher Mueller

Artikel Sebelum

Holiday Villa Cari Projek Di Makkah

Artikel Lain