suria

Bank Muamalat Catat Pertumbuhan 33.5 Peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Bank Muamalat Malaysia Bhd (BMMB) meningkat sebanyak 33.5 peratus kepada RM92.4 juta bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Sept 2015 daripada RM69.2 juta dalam tempoh yang sama tahun 2014.

Pendapatan naik kepada RM583.4 juta daripada RM530.6 juta, sebahagian besarnya datang daripada pertumbuhan pendapatan pembiayaan sebanyak 11.1 peratus.

"Prestasi yang memberansangkan ini telah didorong oleh pertumbuhan yang kukuh dalam hasil yang diperoleh daripada peningkatan sebanyak 12.4 peratus dalam pembiayaan kasar dan usaha yang berterusan dalam menguruskan hasil portfolio kami.

"Kami juga mengalami pengurangan kos yang ketara akibat daripada rasionalisasi kos dan kecekapan inisiatif operasi kami," kata Ketua pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dalam satu kenyataan.

Jumlah pembiayaan kasar naik kepada RM14.4 bilion pada akhir September 2015, berbanding RM12.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Nisbah modal utama bank kekal pada tahap yang sihat, dengan nisbah modal teras pada 12.6 peratus dan nisbah modal wajaran risiko pada 15.07 peratus.

"Peningkatan ini adalah hasil daripada usaha berterusan kami pada pemulihan yang berhemat, inisiatif pengurusan risiko kredit dan pengembangan asas pembiayaan berkualiti yang lebih baik," kata Mohd Redza.

Bank Muamalat

Artikel Lain