suria

Aeon Big Akan Import Lebih Banyak Produk Dari Jepun

KUALA LUMPUR: Aeon Big (M) Sdn Bhd menyasarkan untuk mengimport lebih banyak produk pertanian Jepun ke Malaysia melalui kerjasamanya dengan Persekutuan Nasional bagi Persatuan-persatuan Koperasi Pertanian.

Pengarah Urusan Aeon Big Mitsuru Nakata berkata dengan populariti amalan pemakanan sihat dan bersih di Malaysia, pasar raya besar itu teruja untuk menyediakan hasil pertanian berkualiti tinggi, dijaga dengan rapi dan inovatif yang ditawarkan oleh Jepun.

"Kami akan membawa masuk lebih banyak produk, antaranya ikan segar, buah-buahan dan sayur-sayuran kepada pengguna Malaysia tahun depan," kata Nakata kepada pemberita pada pelancaran buah pir Nikkori dan ubi kayu Ibaraki dari Jepun pada Isnin.

Buah pir Nikkori dan ubi kayu tersebut dituai pada pertengahan Oktober dan disimpan hingga Februari.

Ubi kayu tersebut ditanam di wilayah Ibaraki (pengeluar kedua ubi kayu terbesar di Jepun daripada segi kawasan pengeluaran dan jumlah).

Beliau berkata Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan ekonomi yang baik serta perdagangan yang kukuh sejak sekian lama.

"Dengan mengeksport hasil pertanian premium Jepun ke Malaysia, kami bukan saja mengekalkan hubungan ekonomi yang baik dengan negara pelbagai kaum ini, malahan kami juga menggalakkan produk berkualiti Jepun untuk dinikmati rakyat Malaysia, mendedahkan rakyat tempatan kepada Jepun di samping mewujudkan pendirian kukuh untuk industri pertanian kedua-dua negara," katanya.

Mengenai rancangan pengembangan syarikat, Nakata berkata Aeon Big akan menambah dua lagi pasar raya besar tahun depan, namun enggan mengulas lebih lanjut.

Aeon Big pada masa ini mempunyai 27 pasar raya besar di seluruh negara.

Aeon Big

Artikel Sebelum

Plus Untung RM8.4 Juta Bagi 2014

Artikel Berikut

Untung Pracukai Q3 RHB Susut

Artikel Lain