suria

BNM Perkenal 3 Aplikasi Mudah Alih Baharu

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan tiga aplikasi mudah alih baharu bagi memudahkan pengguna kewangan membuat keputusan kewangan yang bijak.

BNM, dalam kenyataannya hari ini berkata aplikasi itu akan memberikan pengguna perkembangan dan maklumat kewangan terkini termasuk cara untuk merancang dan mengurus kewangan serta menggunakan hak mereka.

Aplikasi tersebut iaitu MyBNM,BNM MyLINK dan MyTabung bertujuan untuk melengkapkan segmen penduduk yang lebih luas dengan maklumat, kemahiran dan alat diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dan berhemat dengan memanfaatkan kemajuan teknologi.

"MyBNM ialah aplikasi mudah alih rasmi BNM membolehkan pengguna mengikuti perkembangan terkini berkaitan dengan laporan kewangan termasuk maklumat dan pengumuman, ucapan dan wawancara, siaran akhbar, amaran penipuan kewangan dan kadar pertukaran asing di hujung jari mereka," kata BNM. 

Sementara itu BNM Mylink memberikan saluran terus antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia seperti perbankan Islam, insurans, syarikat takaful dan institusi PKS.

Manakala MyTabung ialah untuk individu membuat belanjawan peribadi atau isi rumah, mendapatkan nasihat kewangan, tips berbelanja, dan mengajar mengamalkan pengurusan kewangan berhemat sebagai cara hidup.

Aplikasi mudah alih tersebut disediakan dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris dan boleh di muat turun secara percuma dari kedai Apple App dan Google Play.-- Bernama

BNM, MyLINK, MyTabung

Artikel Sebelum

Artikel Lain