suria

Battersea Power Station Menang Anugerah 'Pemaju Terbaik' 2015

KUALA LUMPUR: Pembangunan semula Battersea Power Station milik konsortium Malaysia telah dianugerahkan 'Pemaju Terbaik' pada majlis anugerah antarabangsa Forum Peneraju Arkitek Eropah (Leaf) Emirates Glass 2015 bertempat di London baru-baru ini.

Ahli panel anugerah Leaf menilai penyertaan dari seluruh dunia dan menimbang Battersea Power Station sebagai pencalonan paling menarik bagi kategori 'Pemaju Terbaik', kata Sime Darby Property dalam satu kenyataan pada Khamis.

Battersea Power Station yang dimiliki oleh konsortium Malaysia terdiri daripada S P Setia, Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ini juga disenaraikan bagi kategori Bangunan Masa Depan Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company Rob Tincknell menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu penghormatan yang luar biasa.

"Terima kasih di atas visi dan kesungguhan pemegang saham kita, potensi besar kawasan ini yang berada di tengah London dan tepi sungai akhirnya boleh di lihat.

"Tahun depan akan menyaksikan pemilik kediaman baharu yang pertama berpindah ke kawasan baharu yang meriah dihuni dengan kedai, kafe, restoran, ruang pejabat, dan kawasan hijau yang luas," katanya.

Pembangunan semula Battersea Power Station akan menyaksikan mercu tanda ikonik London itu dipulihkan sepenuhnya dan diletakkan di tengah kawasan baharu dibina di tepi sungai di atas tapak tanah seluas 42 ekar.

Kawasan itu akan mempunyai sebuah stesen tiub baharu terletak di hujung High Street membawa ke Malaysia Square, bandar dua tingkat dengan rekaan arkitek diinspirasikan daripada Gua Mulu di Sarawak.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Petronas Raih Dua Anugerah Global

Artikel Lain