suria

Dunia Perlukan Produk Halal Malaysia

Pameran Mihas sentiasa mendapat perhatian pengusaha produk halal tempatan.

KUALA LUMPUR: Malaysia kini dilihat sebagai peneraju utama dalam industri halal global dengan eko sistem perniagaan halal yang teratur dan menjadi pemangkin kepada sektor halal.

Sehingga kini, Malaysia telah pun mempunyai 21 Taman Halal yang mana 13 daripadanya telah memiliki persijilan halal daripada Halmas yang merupakan pihak berkuasa yang dibenar mengeluarkan akriditasi halal kepada mana-mana operator Taman Halal.

Pemohon mestilah memenuhi kriteria, garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC) untuk beroperasi di Taman Halal yang telah dikenalpasti.

Persijilan halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara yang terbaik di dunia.

Penganut agama Islam di seluruh dunia yang berjumlah 1.83 bilion turut menyumbang kepada keperluan sijil halal yang diiktiraf di peringkat global dan sijil halal Malaysia telah dilihat memenuhi kriteria berkenaan.

Buat masa ini, nilai pasaran global produk halal mencecah AS$2.77 trilion setahun manakala nilai eksport produk halal dari Malaysia telah mencecah RM37.7 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud bagaimanapun berkata, sebahagian besar pengeluar produk halal tempatan masih lagi bergerak atas skala yang kecil atau sederhana serta kekurangan kemampuan untuk memenuhi permintaan global.

Atas sebab itulah katanya, firma-firma gergasi dan pemain industri kecil dan sederhana halal tempatan perlu bekerjasama untuk memenuhi permintaan produk halal global buat masa ini.

Ini kerana negara-negara bukan Islam seperti Thailand, Singapura, Jepun dan Australia telah mula memberi perhatian dan penekanan ke atas pengeluaran produk-produk halal mereka sendiri bagi memenuhi permintaan global yang tinggi.

Negara-negara ini menyedari akan peluang yang sangat luas dalam industri halal dan telah mula memberi bantuan dalam membangunkan produk halal keluaran pemain-pemain industri kecil dan sederhana mereka sendiri untuk meningkatkan pengeluaran dan pengeksportan ke luar negara.

Dan mereka melihat Malaysia sebagai contoh model terbaik di dalam membangunkan tatacara penghasilan produk halal dan proses yang perlu diambil untuk mencapai akriditasi halal.

Untuk Malaysia pula, Matrade sebagai agensi yang bertanggungjawab mempromosi dan membangunkan industri kecil dan sederhana untuk menembusi pasaran global terus menjadi pemacu utama dalam membantu mengenegahkan produk-produk halal Malaysia di luar negara.

Misalnya, Mihas atau Pameran Industri Halal Antarabangsa anjuran Matrade telah berjalan selama 12 tahun berturut-turut dan bagi Mihas 2015 yang berlangsung April lalu, mencatatkan jualan sehingga RM1.1 bilion.

Mihas kini dikenali sebagai pameran produk halal terbesar dunia yang menyaksikan pengeluar dan pemain dalam industri halal dunia bertemu dan mengadakan urusan dagangan.

Selain Mihas, Matrade juga turut menganjurkan program kesedaran tentang peluang-peluang dan pembangunan produk untuk syarikat Malaysia.

Antaranya Matrade bersama-sama Brahim Holdings Bhd dan Nippon Express menganjurkan seminar tentang Sukan Olimpik 2020 Tokyo dan peluang-peluang yang dapat direbut oleh pengeluar-pengeluar produk halal Malaysia menjelang temasya sukan terbesar dunia itu nanti.

Seminar itu mengenegahkan peluang-peluang eksport produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke Jepun sempena temasya sukan itu nanti.

Ia juga membuka peluang kepada pengusaha produk halal Malaysia untuk melihat Jepun sebagai pasaran produk halal yang besar dan berpotensi menjelang Sukan Olimpik 2020.

Apatah lagi Matrade melihat Jepun sebagai pasaran produk halal yang sedang mengembang serta memiliki kuasa membeli yang besar ke atas produk-produk halal khususnya produk makanan.

Jepun adalah pengimport produk makanan terbesar dunia dengan mencatatkan kemasukan barangan berasaskan makanan berjumlah AS$225 bilion.

Menurut rekod, 60% daripada rangkaian makanan Jepun adalah produk import.

Rakyat Jepun yang kini memberi perhatian kepada kualiti makanan yang diimport melihat produk makanan halal sebagai produk berkualiti tinggi kerana piawaian dan standard halal yang meletakkan kebersihan sebagai keutamaan.

"Untuk itu Malaysia sendiri berhasrat untuk meningkatkan kualiti jenama halal keluarannya kerana standard halal Jakim yang tinggi tetapi pada masa yang sama kita memerlukan penyertaan syarikat Malaysia yang lebih banyak dalam industri ini bagi memenuhi permintaan global," tegas Dzulkifli.

Dzulkifli ingin melihat lebih ramai pemain industri halal kecil dan sederhana tampil ke hadapan bersama-sama Matrade menembusi pasaran global kerana Matrade mempunyai 46 pejabat di seluruh dunia untuk tujuan promosi produk-produk Malaysia.

Dzulkifli juga berkata, para pengusaha boleh memperolehi maklumat mengenai program Matrade dengan melayari laman web mereka di www.matrade.gov.my




Artikel Lain