KWSP Catat Pendapatan Pelaburan RM9.54 Bilion Untuk Suku Ketiga 2015

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 9:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pendapatan pelaburan sebanyak RM9.54 bilion bagi suku ketiga 2015 berakhir 30 September 2015, tetapi merekodkan penurunan dari tahun ke tahun sebanyak 7.58 peratus, berbanding RM10.32 bilion dalam tempoh yang sama, pada 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam satu kenyataan berkata, suku ketiga tahun ini amat mencabar bagi KWSP disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran.

Beliau berkata, bagaimanapun, program kepelbagaian global KWSP telah membantu menampan kesan tersebut sepanjang tempoh ini.

"Kami telah menjangkakan keadaan pasaran yang mencabar dan turut menyesuaikan strategi kami. Sama seperti pelabur lain, kami turut menerima kesan ketidaktentuan pasaran. Bagaimanapun, kami masih mendapat pulangan daripada pasaran dunia yang lain ketika pasaran domestik mengalami penurunan prestasi yang lebih rendah dari yang dijangkakan," katanya.

Sehingga September 2015, pelaburan luar negara yang merangkumi 27 peratus daripada jumlah aset keseluruhan telah menyumbang sebanyak 45 peratus daripada jumlah kumulatif pendapatan pelaburan KWSP bagi tahun semasa iaitu RM31.58 bilion.

Program kepelbagaian dana yang sejajar dengan pertumbuhan aset yang berterusan, telah mengimbangi prestasi aset domestik yang kurang memuaskan.

Jumlah keseluruhan pelaburan aset KWSP, sehingga September 2015, meningkat sebanyak RM31.03 bilion kepada RM667.56 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. 

Jumlah pendapatan bagi tahun semasa adalah 6.72 peratus lebih tinggi dari RM28.60 bilion yang dicatat dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pelaburan pelbagai mandat melalui pengurus dana luar, terutamanya bagi pelaburan yang memerlukan kepakaran global, mewakili kira-kira 15 peratus daripada pelaburan KWSP.

Portfolio tersebut menyumbang lebih daripada 19 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan bagi tahun semasa.

Pelaburan KWSP dipandu oleh Alokasi Aset Strategik (SAA) yang berhemah dan dinamik. 

Melalui alokasi aset taktikal, KWSP telah berjaya mengimbangi portfolionya apabila wujud peluang melalui keadaan pasaran semasa.

Strategi kepelbagaian global KWSP yang merentasi aset, pasaran dan industri mampu mengurangkan kesan kelembapan ekonomi serta memenuhi sasaran jangka panjang KWSP untuk memberikan dividen pada kadar dua peratus melebihi inflasi.

Dalam kajian suku tahun ini, ekuiti, yang merangkumi 43 peratus daripada jumlah aset pelaburan dana, terus menjadi penyumbang utama kepada pulangan pelaburan iaitu pada RM4.71 bilion, mewakili 49.38 peratus daripada jumlah pendapatan, walaupun mencatatkan penurunan dari suku tahun yang sama pada 2014.

Pelaburan pendapatan tetap, mewakili 51 peratus daripada saiz aset pelaburan KWSP, terus memberikan pulangan yang konsisten dengan peningkatan 30.64 peratus berbanding dengan suku ketiga 2014.

Sementara itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia pula menjana sebanyak RM1.82 bilion untuk pendapatan semasa suku ketiga 2015, naik 12.23 peratus atau RM198.53 juta, berbanding RM1.62 bilion pada suku yang sama 2014.

Pinjaman dan Bon mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM2.54 bilion berbanding RM1.71 bilion pada suku ketiga 2014, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang sebanyak RM220.33 juta.

Hartanah dan Infrastruktur mewakili tiga peratus daripada jumlah pelaburan aset KWSP pada September 2015 dan menjana RM247.12 juta pendapatan dalam suku tahun ini. 

Pelaburan dalam aset sebenar memberikan KWSP pulangan selepas inflasi yang membantu mencapai sasaran sebenar dividen sebanyak dua peratus melebihi kadar inflasi.

"Walaupun keadaan pasaran tempatan dan global kekal mencabar, kami terus berusaha untuk mendapatkan pulangan dividen yang mampan. Fokus kami masih tertumpu kepada usaha mengenalpasti serta melabur dalam aset yang mempunyai prospek jangka panjang selain mencari peluang lain bagi menjana pulangan untuk pencarum kami, kata Shahril.

KWSP merupakan kumpulan wang simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan asas keselamatan kewangan untuk pesara.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia. -- Bernama






Tags / Kata Kunci: KWSP , Shahril Ridza Ridzuan

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan