Penerbangan Malindo Ke Perth Tingkat Jumlah Pelancong, Hubungan Dagang Dan Pelaburan

Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 12:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malindo Air memulakan penerbangan sulungnya ke Perth yang membuka peluang yang lebih luas dalam sektor pelancongan antara Malaysia dan Perth, ibu negeri Australia yang beriklim panas, selain memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan.

Penerbangan OD151 Boeing 737 yang membawa 180 penumpang, berlepas dari  klia2 pada 9.15 pagi, menyediakan kekerapan 11 penerbangan mingguan yang diyakini dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong ke negeri di Australia Barat itu.

Antara penumpang dalam penerbangan sulung itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy dan wakil media.

Penganalisis industri pelancongan berkata penerbangan pertama itu tidak ragu-ragu lagi merupakan langkah tepat berdasarkan hubungan perniagaan yang panjang antara kedua-dua destinasi.

Dan berdasarkan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang berjaya dimuktamadkan baru-baru ini, dengan Malaysia dan Australia antara yang terlibat, sudah semestinya memberi kekuatan kepada Malindo Air untuk meluaskan ke destinasi lain di Australia.

Penerbangan ke Perth juga menunjukkan kejayaan bermakna yang direalisasikan oleh syarikat penerbangan hibrid itu dalam tempoh beberapa tahun sahaja sejak dilancarkan pada Mac 2013.

Perkhidmatan 11 kali seminggu itu juga menandakan penerbangan pertama syarikat penerbangan itu ke Australia, yang juga negara kelapan dalam rangkaian antarabangsanya.

Penerbangan 5 jam 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Lapangan Terbang Perth, merupakan laluan paling jauh dari hab utama Malindo Air di klia2, berdasarkan jarak.

Chandran Rama Muthy berkata pembangunan rangkaian antarabangsa syarikat penerbangan berkenaan pada separuh kedua 2015 menyokong visi jangka panjang syarikat dalam menyediakan pengguna kepada rangkaian luas destinasi dan perhubungan yang lancar dari Kuala Lumpur yang merupakan hab serantau.

"Perth akan meluaskan liputan dan mengukuhkan kedudukan pelanggan kami dalam pasaran penting yang strategik di Asia itu.

"Kami yakin perkhidmatan baharu ini -- yang pertama ke Australia -- akan meningkatkan perjalanan dan perdagangan antara Australia dan Malaysia," kata  Chandran dalam satu kenyataan semasa mengumumkan bahawa syarikat penerbangan itu memperoleh kelulusan daripada Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA) untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Perth.

Pesawat Boeing 737-900ERdengan kapasiti 180 tempat duduk, termasuk 12 Kelas Perniagaan dan 168 Kelas Ekonomi itu, digunakan dalam penerbangan sejauh 4,126 kilometer itu.

Tambang promosi bagi laluan baharu itu bermula daripada RM459 bagi Kelas Ekonomi dan RM1,499 bagi Kelas Perniagaan sehala termasuk segala keistimewaan seperti peruntukan bagasi percuma, hiburan dalam pesawat, hidangan makanan dan  jamuan ringan.

Malindo Air yang mula beroperasi pada Mac 2013, bermula dengan penerbangan domestik, telah berkembang dan memperluas laluan operasi ke semua lapangan terbang utama di Malaysia dan destinasi serantau meliputi Indonesia, Thailand, India, Bangladesh, Nepal dan Singapura.

Untuk rekod, syarikat penerbangan itu membawa 900,000 penumpang pada 2013, tahun pertama beroperasi, dan meningkat kepada 2.5 juta pada 2014.

Syarikat penerbangan itu mengunjurkan lonjakan berperingkat-peringkat jumlah penumpang kepada empat juta menjelang akhir 2015, susulan perluasan perkhidmatan kepada 10 negara di rantau ini menjelang akhir tahun.

Malindo Air memenangi Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik Tahunan(Penumpang) 2014 pada edisi ke-10 Anugerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Syarikat penerbangan itu telah berkembang pesat kepada kumpulan 26 pesawat yang terdiri daripada 11 ATR72-600 dan 15 Boeing 737NG sehingga Oktober tahun ini.

Malindo Air dijangkakan menerima jet Boeing ke-16nya bulan ini, mengakhiri tahun ini dengan kejayaan besar selain pengumumuan laluan baharu ke Australia, China dan destinasi paling jauh di Asia.

Malindo Air menerima pesawat Boeing ke-15nya Oktober tahun ini yang menjadikan saiz kumpulan pesawatnya kepada 26, termasuk 11 pesawat ATR turboprop. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Malindo Air , Perth , Abd Aziz Kaprawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan