suria

Borneo Pets Dilantik Syarikat Jerman Sebagai Rakan Strategik

KUALA LUMPUR: Pengeluar makanan haiwan Jerman, Josera Gmbh  and  Co KG, melantik Borneo Pets World Sdn Bhd sebagai pengedar tunggalnya dan rakan strategik untuk mengakses pasaran haiwan Asean.

Pengurus Eksport Makanan Haiwan Josera, Mark Egner berkata produk syarikat tersebut boleh didapati di lebih 50 buah negara di Eropah, Amerika Utara dan Selatan, Afrika dan rantau lain.

Syarikat itu kini bersedia untuk memanfaatkan kedudukan jenama yang kukuh, pengalaman dan pengukuhan serantau Borneo Pets.

"Kami merancang untuk mengubah Malaysia kepada hab industri haiwan serantau yang kukuh, memandangkan ia mempunyai kedudukan geografi yang strategik dalam Asean," katanya kepada pemberita pada majlis pertukaran dokumen di sini, Rabu.

Egner berkata dengan dorongan pertumbuhan pesat kelas pertengahan di Asia, industri haiwan di ASEAN dijangka mencecah RM44 bilion menjelang 2020.

Nilai industri haiwan di Malaysia pada hari ini dianggarkan RM1 bilion dan komponen makanan haiwan sebanyak RM300 juta dijangka meningkat kepada RM500 juta menjelang 2020.

Josera, dengan 70 tahun pengalaman, merupakan antara tiga syarikat pengeluaran makanan haiwan utama dan telah memenangi banyak anugerah industri.

Pada 2014, ia dinamakan penyedia makanan haiwan terbaik oleh Industri Makanan Haiwan Jerman.

Sementara itu, Borneo Pets, yang diterajui oleh Dr Thomas Jong, mempunyai 20 tahun pengalaman dalam industri haiwan.

Ia akan melaksanakan program pengedaran makanan haiwan yang termasuk membangunkan saluran pasaran yang berkesan untuk menyokong kedai haiwan dan doktor haiwan, promosi makanan haiwan dan aktiviti kesedaran awam.

Borneo Pets, Jerman

Artikel Lain