suria

TH Properties Peruntuk RM220 Juta Bagi Projek Di Australia

KUALA LUMPUR: TH Properties Sdn Bhd, cabang pembangunan hartanah dana haji Malaysia, Lembaga Tabung Haji (LTH), memperuntukkan kira-kira  RM220 juta untuk semua projeknya di Australia.

Ia telah melaksanakan pembangunan di Sydney dengan nilai pembangunan kasar  (GDV) melebihi A$800 juta (A$1=RM3.13).

Bercakap kepada media Malaysia di Sydney baru-baru ini, Pengerusi LTH Datuk Azizan Abdul Rahman berkata TH Properties telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pembangunan yang akan datang.

Ia telah menyiapkan pembangunan hartanah Bay Pavilions bernilai A$220 juta yang terletak di Burns Bay Road, Lane Cove, 10 kilometer dari Daerah Perniagaan Sydney Central (CBD).

Dilancarkan pada akhir 2013 dan telah habis dijual, Bay Pavilions siap lebih awal.

Ia merupakan 273 unit pangsapuri dengan satu, dua dan tiga bilik, berharga antara A$515,000 dan A$1.622 juta.

Pembeli Bay Pavillions kebanyakannya dari Australia, diikuti China, Malaysia dan Hong Kong.

Menurut Azizan, pangsapuri kediaman di Sydney mencatatkan pertumbuhan modal yang memberangsangkan sebanyak 7.2 peratus setahun dalam tempoh lima tahun lalu.

"Trend positif itu dijangka berterusan, walaupun pada kadar perlahan," katanya.

Ditanya sebarang pelan pembangunan di luar Sydney, Azizan berkata, "buat masa ini, tiada," katanya sambil menambah LTH mempunyai hartanah pelaburan di Melbourne.

Berbanding Sydney, katanya kebanyakan ibu kota utama lain di Australia mengalami pertumbuhan modal yang lembap bagi pangsapuri kediaman.

Di Sydney, pemaju hartanah tersebut turut meraih projek Imperial Hurstville terletak di Treacy Street, Hurstville, dengan GDV sebanyak A$200 juta.

Ia terletak 25 kilometer dari Sydney CBD.

TH Properties juga mempunyai dua projek lain di Sydney, iaitu ONE The Waterfront di Wentworth Point yang dilancarkan baru-baru ini, dan cadangan pangsapuri yang akan dilancarkan pada 2016 di North Strathfield.

"Ketiga-tiga projek tersebut dijangka siap sebelum 2020," kata Azizan, yang juga Pengerusi Piety THP Developments, usaha sama dengan Piety Group yang berpangkalan di Australia.

TH Properties menyatakan bahawa Sydney merupakan bandar raya pilihan pelabur asing.

Kenyataan ini disokong dengan tinjauan tahunan City RepTrak Reputation Institute yang dikeluarkan pada 22 Okt, kedudukan 101 bandar raya dengan reputasi antarabangsa yang terbaik dari segi ekonomi, kerajaan, infrastruktur, dasar sosial, persekitaran perniagaan dan kecantikan.

Sydney mendapat undian tertinggi, diikuti Melbourne. 

Tabung Haji, Australia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain