suria

RM37.8 Juta Pembangunan Industri Koko Negara Sepanjang RMK11

KOTA KINABALU: Kerajaan pusat melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) memperuntukkan sejumlah RM37.8 juta bagi aktiviti pembangunan industri koko di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Pengerusi Lembaga Pengelola LKM Datuk D. Marcus Makin Mojigoh berkata daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan bagi negeri Sabah.

"Peruntukkan itu bergantung kepada jumlah pemohon yang mengusahakan penanaman koko di setiap kawasan," katanya kepada pemberita selepas menutup Percambahan Minda Pelan Transformasi Industri Koko di sini, Jumaat.

Beliau berharap persepsi yang mengatakan penanaman koko adalah sukar perlu diubah kerana industri itu mampu mendatangkan hasil lumayan memandangkan harga koko mencecah RM9 sekilogram atau RM8,900 bagi satu tan.

Katanya LKM sedang merancang untuk membina beberapa pusat pengumpulan hasil koko di kawasan yang ditetapkan di Sabah.

"Ia membolehkan buah koko segar dijual terus ke pusat itu selain diproses sendiri dan ini adalah langkah LKM untuk mewujudkan usahawan berjaya," katanya.

Marcus yang juga anggota Parlimen Putatan berkata LKM telah mengenal pasti beberapa pengusaha luar bandar yang akan diberi bantuan RM1,000 bagi setiap hektar penanaman semula koko, di samping bantuan lain termasuk biji benih, baja, racun semburan dan khidmat nasihat.

Langkah itu merupakan antara usaha untuk menggalakkan dan memperluaskan penanaman semula koko di Sabah yang seterusnya meningkatkan jumlah eksport koko ke luar negara, katanya.

Pada tahun lepas, katanya, eksport koko keluar negara sebanyak 1,139 tan metrik.

"Kita mahu mengeluarkan produk daripada koko sendiri berbanding bergantung kepada koko dari negara luar," katanya.

Antara kawasan terlibat penanaman koko di Sabah termasuk Tawau, Tenom, Ranau dan Kudat.

Sementara itu, program percambahan minda berlangsung selama tiga hari itu bertujuan menilai semula keberkesanan dasar, strategi serta program pembangunan industri koko semasa selain merangka pelan jangka panjang dan transformasi koko di negara ini.-- Bernama 


Lembaga Koko Malaysia, Sabah

Artikel Lain