suria

Mara Cadang Bina 'Factory Outlet' Mesra Pelancong

ALOR SETAR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) merancang membina rangkaian 'factory outlet' atau kedai barangan terus dari kilang yang mesra pelancong pada tahun hadapan di beberapa tempat, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata cadangan lokasi ialah di Langkawi dan Bukit Kayu Hitam di Kedah, Rantau Panjang di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata berkonsepkan 'shopping village' ia diharap mampu menggamit kehadiran pelancong yang inginkan kelainan ketika membeli-belah sambil dihiburkan dengan pelbagai persembahan tradisi masyarakat Malaysia.

"Kami bercadang untuk jual lebih 100 produk berjenama di samping produk tempatan," katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata dengan wujudnya rangkaian kedai itu, ia juga dapat menambah jumlah peruncit Bumiputera pada masa depan.

Selain itu, katanya Mara bercadang mengubah suai bangunan Langkawi Island Plaza di Kuah, Langkawi milik agensi itu kepada sebuah hotel bajet dengan kos kira-kira RM20 juta.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata Mara akan terus berkerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyelesaikan dakwaan  penipuan dalam pembelian hartanah bernilai RM65 juta di Australia.

"Mara juga telah melantik panel audit luar negara bagi menjalankan siasatan audit forensik dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. Jadi (dalam) isu penyelewengan itu, kami (Mara) tidak duduk diam dan terus siasat," katanya.

Katanya sebelum ini Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Mara tidak mengambil tindakan mengenai isu tersebut dan mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai pembelian hartanah oleh Mara di Australia.

Beliau berkata anggota Parlimen Pandan itu sepatutnya menjadi saksi utama bagi membantu siasatan terhadap kes itu.

"Rafizi perlu serahkan bukti kepada SPRM dan bukannya hebahkan kepada media.

Kalau setakat ambil maklumat daripada media asing, semua orang tahu ia tidak cukup untuk dijadikan bukti pendakwaan," katanya.

Mara

Artikel Lain