suria

DRB Hicom Sasar Jualan RM45 Juta Pada Autofest

SHAH ALAM: DRB-HICOM Bhd menyasarkan jualan bernilai RM45 juta pada pameran kereta DRB-Hicom Autofest 2015 yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata syarikat menampilkan 11 jenama kenderaan yang berada di bawah Kumpulan dan seluruh ekosistem industri kereta dalam lingkungannya seperti Puspakom, Avis dan Pos Malaysia pada pameran tahun ini.

Jenama yang ditampilkan ialah Proton, Lotus, Spyder Can-Am, Audi, Volkswagen, Honda, Jeep, Mitsubishi, Isuzu, Tata dan Modenas.

"Jualan pada edisi terdahulu adalah menggalakkan," katanya kepada pemberita di luar festival hari ini.

Beliau yakin dengan prestasi tahun ini dan menjangka nilai jualan lebih tinggi berbanding RM43 juta yang dicatat tahun lepas.

Dalam edisi keempat ini syarikat menawarkan diskaun 10 peratus bagi kereta model terpilih.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Edaran Automotif dan Pengeluaran, Datuk Razif Mohamed berkata berikutan kenaikan harga kereta baru-baru ini, pembeli patut mengambil peluang ini untuk menikmati tawaran istimewa tersebut.

Tawaran menarik turut merangkumi produk dan perkhidmatan berkaitan kereta seperti aksesori, pembiayaan, insurans, pajakan/sewa kereta dan promosi istimewa kad DRB-Hicom Elite, katanya.

DRB Hicom

Artikel Sebelum

Artikel Lain