suria

BNM Harap Sokongan Lebih Besar Kepada Inceif

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengharapkan sokongan yang lebih besar daripada sektor korporat kepada Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dalam Kewangan Islam (INCEIF), untuk membangunkan lagi industri kewangan Islam.

Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata peranan yang dimainkan INCEIF, sebuah universiti global kewangan Islam yang ditubuhkan oleh BNM, merupakan faktor penting dalam membangunkan modal insan bagi merangsang  industri itu di seluruh dunia.

Menurutnya, industri Kewangan Islam berkembang sejak beberapa tahun ini kepada lebih 20 peratus dari segi bahagian pasaran daripada tujuh peratus pada 2000.

Zeti berkata strategi yang diambil INCEIF untuk merangsang kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi telah mengukuhkan usaha dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan dan pertukaran idea dan maklumat dalam kewangan Islam.

"Pada masa hadapan, kami menjangkakan cabaran yang lebih besar bagi INCEIF sebagai sekolah siswazah utama bagi kewangan Islam," katanya pada pelancaran INCEIF Endowment Fund oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, di sini, malam Rabu.

Antara yang hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF Daud Vicary Abdullah.

Zeti berkata lebih 30 memorandum persefahaman dan perjanjian dimeterai oleh INCEIF dengan institusi di seluruh dunia untuk melengkapkan usahanya mencapai pengetahuan dan disiplin bertaraf dunia.

Menurutnya, bank pusat terus memberi sokongan dan meningkatkan potensi dalam menyediakan kewangan Islam dan penyelidikan.

"Ketika kita melangkah kehadapan, pendekatan baharu diperlukan (untuk mengembangkan industri) dan peserta industri perlu menyokong INCEIF untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi," katanya. 

BNM, Inceif

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain