suria

Perdasama Rancang Perluas Kepakaran Halal Ke India

DONGGUAN: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) berhasrat mengembangkan kepakaran halal Malaysia ke pasaran India, terutama bagi menampung keperluan populasi Islamnya yang besar, kata Naib Presiden Datuk Naim Mohamad Said.

Beliau berkata esok, persatuan akan menyertai Hari Halal Dunia 2015 di  Pondicherry, ibu kota serantau di India Selatan, yang merupakan siri sambungan daripada acara di Singapura sebelum ini.

"Kami akan menggunakan peluang ini untuk menembusi pasaran India dengan mempromosikan bukan sahaja produk halal tetapi juga kepakaran kita dalam industri halal termasuk pensijilan halal," katanya kepada Bernama di luar Ekspo Antarabangsa Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 Guangdong selama tiga hari, bermula Khamis lalu.

Naim berkata Perdasama akan bekerjasama rapat dengan agensi Malaysia lain iaitu SME Corporation Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal bagi mewujudkan pusat edaran dan akses pasaran di India.

"Kita sudah memasuki China dan kita boleh tidak abaikan India. Kita mesti wujudkan hubungan, jaringan kerja serta bawa perusahaan kecil dan sederhana kita ke sana," katanya.

Naim berkata walaupun kuasa membeli pengguna di India amnya lebih rendah berbanding China, umat Islam India lebih ramai berbanding China.

"Kita sudah berada di China, negara terbesar dunia dengan penduduk berjumlah 1.36 bilion dan sekarang kita perlu memasuki negara kedua terbesar, India yang mempunyai 1.25 bilion rakyat.

"Tambahan pula kita bukan mengeksport barangan mewah, tetapi barang keperluan harian yang akan dijadikan barang mampu milik untuk penduduk," katanya.

Pada masa ini penduduk beragama Islam di India berjumlah 225 juta manakala di China 180 juta.

Naim berkata pada akhirnya Malaysia mempunyai aspirasi untuk memperluas jejaknya di pasaran ASEAN yang didiami 620 juta orang.

"Pasaran Islam adalah pasaran utama kami tetapi jika ia bagus untuk maka pastinya cukup bagus untuk seluruh dunia.

"Halal tidak bermakna bebas khinxir tetapi merangkumi penyediaan makanan yang perlu bersih bagi memastikan keselamatan pengguna," katanya.

Perdasama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain