suria

Malaysia Boleh Capai Sasaran Defisit Fiskal 3.1 Peratus

KUALA LUMPUR: Malaysia berupaya mencapai sasaran defisit fiskalnya pada 3.1 peratus menjelang akhir 2016 kerana negara mempunyai asas ekonomi kukuh, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

"Lihat pada sistem kewangan kita, ia sangat kukuh, sangat berdaya tahan, manakala dalam senario ekonomi semasa kita, kami sangat yakin kita dapat mencapai sasaran itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk pembiayaan terus BizWanita Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai amaran Fitch Ratings bahawa Malaysia mungkin tidak dapat mencapai pengurangan defisit fiskalnya tahun depan.

Agensi penarafan itu berkata defisit bajet 2016 Malaysia mungkin melebihi anggaran Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar disebabkan penurunan harga komoditi.

"Masih ada setahun lagi. Tiada sebarang petanda ia akan menjejaskan (keadaan ekonomi kita)," kata Johari.

Mengenai BizWanita CGC, beliau berkata ia merupakan antara usaha kerajaan bagi membantu mengurangkan status golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di negara ini.

"Kerajaan menumpukan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan segmen B40.

Satu daripada strateginya adalah menumpukan kepada keusahawanan," katanya.

Johari berkata kemudahan CGC seperti BizWanita akan membantu usahawan wanita memperoleh pinjaman daripada pembiaya.

Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata akses kepada pembiayaan merupakan antara kebimbangan utama usahawan wanita dan BizWanita adalah langkah yang dialu-alukan dalam menambah baik akses mereka kepada pembiayaan.

Menurutnya, menerusi pelbagai maklum balas didapati bahawa usahawan wanita  biasanya kerap mendapatkan pembiayaan mikro.

"Meskipun sokongan seperti ini tidak dinafikan penting pada peringkat awal, sesetengah usahawan wanita masih berdepan cabaran apabila syarikat mereka berkembang dan keperluan pembiayaan mereka melebihi siling kredit mikro.

"Mereka kemudiannya akan berdepan halangan seperti rekod prestasi yang tidak mencukupi untuk membantu mereka mendapatkan pembiayaan yang lebih tinggi," kata Johari.

Pada akhir Julai 2015, jumlah pinjaman tertunggak oleh sistem perbankan meningkat kepada RM1.4 trilion manakala jumlah tertunggak pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana sebanyak RM247.6 bilion. 

Defisit Fiskal, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain