suria

MRCB Umum 3 Projek Serentak

Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Faris Yahaya (empat dari kiri) bersama-sama Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (tiga dari kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr.Mohd Irwan Serigar Abdullah (kiri sekali) bersama model pelan pembangunan Pusat Bandar Cyberjaya.

CYBERJAYA: Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) mengumumkan kejayaannya memperolehi tiga projek utama serentak bermula dengan projek penyelenggaraan dan menaiktaraf Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil bernilai RM1.63 bilion.

Menurut MRCB, projek ini melibatkan pemindahan tiga bidang tanah pegangan pajak seluas 92.5 ekar di Bukit Jalil kepada Rukun Juang Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang ekuitinya dikuasai sebanyak 85% oleh MRCB. Baki 15% lagi dikuasai oleh Rasma Contractors.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB berkata, kos projek berkenaan yang akan dilaksanakan dalam dua fasa, adalah dirundingkan secara komersil berasaskan kepada kerja-kerja pembinaan yang diperlukan untuk menyelenggara dan meningkatkan kemudahan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil sebagaimana yang diluluskan oleh kerajaan.

Menurut MRCB, mereka dipilih oleh kerajaan selepas 11 syarikat mengemukakan bidaan dalam tender terbuka di bawah usahasama kerajaan-swasta.

Fasa pertama projek ini adalah bagi menyelenggara dan meningkatkan kemudahan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil untuk Sukan Sea 2017 dan juga menaik taraf Stadium Putra, Pusat Akuatik Negara dan juga Stadium Hoki Nasional.

Ini termasuklah meningkatkan akses dan kemudahan pengangkutan awam di sekitar kawasan kompleks stadium termasuklah laluan pejalan kaki.

Selepas Temasya Sukan Sea selesai, fasa kedua akan bermula pada 2018 melibatkan pembinaan Bandar Sukan KL  - hub sukan integrasi penuh - termasuklah kemudahan latihan sukan berkualiti tinggi, pusat pemulihan sains sukan, taman remaja, kemudahan sukan awam, muzium sukan dan pusat peruncitan berasaskan sukan.

Menurut MRCB, kos keseluruhan projek mega ini bernilai RM1.6 bilion.

Pakar pusat sukan antarabangsa Populous telah dilantik sebagai pakar runding rekabentuk projek. Populous mempunyai pengalaman mengendalikan 2,000 projek berasaskan pusat sukan dengan nilai projek berjumlah AS$30 bilion.

Fasa pertama sahaja akan menelan belanja sekitar RM499.2 juta manakala fasa kedua RM1,1 bilion.

Baki RM31.9 juta akan dibayar kepada kerajaan dalam bentuk tunai.

Sementara itu, dalam satu lagi makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB mengumumkan yang mereka telah menyertai projek kerjasama 60:40 dengan Cyberview Sdn Bhd untuk membangunkan Pusat Bandar Cyberjaya.

Usahasama ini dicapai menerusi pemilikan 70% kepentingan di dalam Cyberview Sdn Bhd Development iaitu sebuah syarikat kerjsama di antara MRCB Land dan Cyberview untuk membangunkan pusat bandar tersebut.

Projek ini bernilai RM269.5 juta.

Projek ini terletak di atas sebidang tanah pegangan bebas seluas 141 ekar dengan anggaran nilai pembangunan purata mencecah RM8 bilion hingga RM10 bilion.

Ia akan mengambil masa selama 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya dan akan bermula awal tahun depan.

Antara lain, ia akan mempunyai satu pusat konvensyen untuk perniagaan berasaskan teknologi, hotel bertaraf bisnes dengan kemudahan 300-400 buah bilik dan juga kawasan peruncitan makanan.

Pada fasa seterusnya, akan melibatkan pembinaan sebuah pusat membeli-belah dan juga kemudahan perumahan kos rendah, sederhana dan juga mewah.

Pengarah Urusan Cyberview, Faris Yahaya berkata, pusat konvensyen baru yang akan dibina nanti adalah berasaskan model Fira Barcelona iaitu sebuah pusat pameran dagangan terkemuka di Sepanyol.

Buat masa ini populasi waktu siang Cyberjaya adalah sekitar 80,000 orang manakala populasi waktu malam adalah 10% daripada jumlah siang.

Cyberjaya mempunyai sasaran untuk meningkatkan populasi siang kepada 100,000 orang menjelang hujung 2016 dan meningkatkan populasi malam kepada 30-40% daripada populasi siang.

Sementara itu, MRCB juga mengumumkan projek ketiga mereka iaitu memeterai perjanjian dengan Kwasa Utama Sdn Bhd untuk membangunkan projek komersil Kwasa Utama di atas sebuah plot tanah seluas 29.82 ekar.

Projek pembangunan itu terletak di pusat bandar Kwasa Damansara di Sungai Buloh yang akan mengandungi lapan blok menara pejabat, sebuah blok hotel, sebuah blok auditorium dan satu blok kemudahan umum.

Jumlah kontrak untuk projek ini adalah sekitar RM3.1 bilion dengan anggaran tempoh siap selama 12 tahun.

Buat masa ini, nilai projek MRCB adalah sekitar RM35 bilion hingga RM40 bilion berasaskan nilai pembangunan kasar.

Artikel Lain