suria

Bajet 2016 Pakej Lengkap Bagi Usahawan - PUNB

KUALA LUMPUR: Bajet 2016 merupakan pakej lengkap bagi usahawan walaupun pelaksanaannya perlu dipantau dengan rapat, kata Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Di bawah Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan berjumlah RM10.5 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk RM107 juta di bawah Pelan Induk PKS.

Pengarah PUNB Datuk Jamelah Abu Bakar berkata daripada jumlah itu, RM250 juta diperuntukkan kepada PUNB, RM500 juta kepada SME Bank dan RM200 juta pembiayaan mikro bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah kepada Amanah Ikhtiar Malaysia.

"Dari perspektif usahawan, pakej bajet kali ini sangat lengkap jadi kita berharap para usahawan dan bakal usahawan akan merebut peluang ini.

"Bagaimanapun, pelaksanaannya juga perlu diawasi," katanya pada program televisyen "Feminin" di TV1, Isnin.

Jamelah berkata pendekatan PUNB dalam melahirkan usahawan adalah untuk membimbing mereka dengan sokongan daripada syarikat yang berjaya seperti Mydin, Habib Jewels dan Jakel.

Sebagai contoh, beliau berkata, Mydin selama ini telah memainkan peranan aktif dalam membantu PUNB dengan membawa usahawan ke India dan mendidik mereka tentang industri tekstil.

Sementara itu, bagi usahawan baharu, PUNB menganjurkan seminar setiap Isnin di KL Sentral untuk mendidik mereka cara yang betul bagi memulakan perniagaan mereka.

Mengenai Bajet 2016 secara keseluruhannya, beliau berkata perdana menteri berjaya mencakupi semua aspek masyarakat terutamanya dengan peruntukan tinggi bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelepasan cukai bagi anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, Jamelah berkata, sektor automotif terlepas pandang dalam pengumuman Bajet 2016 tetapi beliau percaya ini akan diperbetulkan tidak lama lagi.

"Saya percaya terlepas pandang ini bukan disengajakan, dan dengan perwatakan prihatin perdana menteri, beliau mungkin akan memanggil pemain industri, khasnya Proton dan Perodua, untuk satu sesi khas," katanya.

PUNB, Bajet 2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain