suria

Prestasi Industri Insurans, Takaful Kekal Berdaya Tahan

KUALA LUMPUR: Industri insurans kekal berdaya tahan dengan permodalan kukuh dan keuntungan bertambah baik dalam tempoh lapan bulan pertama 2015, kata Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan, Jumaat.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.

Menurut laporan itu, nisbah kecukupan modal, pengukur kecukupan modal yang terdapat dalam insurans dan dana pemegang saham syarikat untuk menyokong keperluan modal, kekal stabil pada 239.1 peratus (akhir 2014: 250.4 peratus).

Di samping itu, jumlah penampan modal sebanyak RM28.5 bilion melebihi paras keperluan minimum, katanya.

"Bagi sektor insurans hayat, lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan meningkat RM4.4 bilion dalam lapan bulan pertama 2015 (Januari-Ogos 2014: RM9 bilion) didorong oleh kerugian modal bersih sebanyak RM2.6 bilion akibat daripada penilaian ekuiti mengikut pasaran.

"Bagaimanapun, premium bisnes baharu syarikat insurans hayat terus berkembang 4.2 peratus kepada RM6 bilion (Januari-Ogos 2014: 8.4 peratus; RM5.7 bilion), disokong oleh pertumbuhan polisi hayat tanpa sertaan," demikian menurut laporan itu.

Sementara itu, aset industri takaful terus berkembang 5.8 peratus (RM23.7 bilion) pada akhir Ogos 2015 (akhir 2014:8.7 peratus) terutamanya pada sekuriti hutang swasta (49.9 peratus) dan ekuiti (13.9 peratus).

"Dalam tempoh lapan bulan pertama 2015, lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan bagi perniagaan takaful keluarga berjumlah RM1.1 bilion berbanding dengan RM1.7 bilion bagi tempoh sama 2014 dan jumlah caruman perniagaan baru takaful keluarga melonjak dengan pertumbuhan dua digit iaitu 10 peratus berbanding -8.3 peratus bagi bulan Januari-Ogos 2014.

"Bisnes takaful am juga terus berkembang dengan keuntungan operasi meningkat kepada RM190.3 juta dalam tempoh lapan bulan pertama 2015 (Januari-Ogos 2014 2014: RM232.2 juta), disebabkan oleh pengurangan dalam nisbah tuntutan iaitu 52.7 peratus (Januari-Ogos 2014: 49.6 peratus)," menurut laporan itu.-- Bernama

insurans, takaful, Laporan Kewangan

Artikel Lain