RM2.5 Bilion Dilaburkan Bagi Menambah Ekuiti Milik Bumiputera

Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2015 5:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melabur RM2.5 bilion sejak tahun 2010 kepada syarikat-syarikat berpotensi bagi menambah ekuiti milik Bumiputera.

Menurut Laporan Ekonomi 2015/2016, Ekuinas yang ditubuhkan pada 2010 untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi, telah melabur antara lain dalam sektor minyak dan gas, perkhidmatan dan penjagaan kesihatan.

Bagi memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekosistem keusahawanan, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) ditubuhkan yang melaksanakan pelbagai program bagi memacu idea perniagaan inovatif dan kreatif. 

Programnya termasuk pertandingan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang menyediakan geran sehingga RM500,000 kepada pemenang.

Sejak 2013, sebanyak RM30 juta dianugerahkan kepada 60 pemenang yang mempunyai syarikat baharu beroperasi kurang tiga tahun. 

Selain itu, Teraju dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia, membelanjakan RM10 juta sehingga Jun 2015 bagi program pra-eksport untuk syarikat bumiputera berprestasi tinggi untuk membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Sehingga Jun 2015, RM9.1 juta dibelanjakan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana memperluaskan perniagaan dan mampu berdaya saing pada peringkat global, menurut laporan itu.

Bagi pembangunan modal insan Bumiputera, tumpuan terus diberi kepada penyediaan pinjaman pendidikan bagi melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negeri dengan membelanjakan RM1.9 bilion sehingga Ogos 2015.

Di samping itu, RM28.4 juta dibelanjakan bagi Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia dengan memberi pinjaman pendidikan kepada 4,522 pelajar ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana setakat Ogos 2015.

Untuk meningkatkan bilangan akauntan bertauliah Bumiputera daripada lapan peratus dalam tahun 2014 kepada 25 peratus menjelang 2020, kerajaan melancarkan Pusat Profesional Perakaunan dengan kerjasama Institut Akauntan Malaysia yang menyaksikan 330 pelajar berdaftar dalam program-program perakaunan profesional.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Ekuinas , Laporan Khas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan