suria

GST Kurangkan Impak Penurunan Harga Minyak Mentah

KUALA LUMPUR: Cukai tidak langsung dijangka melonjak 42.2 peratus kepada RM53.3 bilion pada 2015, didorong oleh pelaksanaan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan Jumaat, sejak pelaksanaan GST, bilangan syarikat berdaftar telah meningkat kepada 390,378 setakat September 2015 berbanding anggaran asal yang lebih rendah iaitu 146,000.

"Pertambahan bilangan syarikat berdaftar itu mendorong kepada pematuhan cukai yang lebih baik oleh kalangan syarikat.

"Pada 2015, kutipan GST dianggarkan berjumlah RM27 bilion berbanding unjuran asal sebanyak RM21.7 bilion," kata laporan yang dikeluarkan bersempena pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kutipan GST turut menyumbang kepada peningkatan dalam peratusan hasil bukan petroleum, iaitu daripada 58.7 peratus pada 2009 kepada 70 peratus pada 2014.

Ia dijangka meningkat kepada 80.3 peratus pada 2015.

Menurut laporan itu, pendapatan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat marginal 0.8 peratus kepada RM222.5 bilion pada 2015 (pada 2014 : 3.4 peratus) manakala peratusannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka kekal 19.2 peratus walaupun kutipan hasil berkaitan petroleum dan hasil bukan cukai adalah rendah.

"Kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum.

"Peratusan hasil berkaitan petroleum berbanding hasil keseluruhan telah menurun kepada 30 peratus pada 2014 daripada 41.3 peratus pada 2009. 

"Ia dijangka berkurangan kepada 19.7 peratus daripada jumlah hasil pada tahun 2015 berikutan kejatuhan ketara harga minyak mentah," kata laporan itu.- Bernama

GST, minyak mentah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Intipati Ekonomi Bajet 2016

Artikel Lain