suria

Pelaburan KWSP Ke Atas Janakuasa 1MDB Tidak Terjejas

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan berkata pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas dua janakuasa milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) - Jimah Energy Ventures Sdn Bhd dan Panglima Power Sdn Bhd, tidak terjejas.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata pelaburan KWSP  dalam dua janakuasa tersebut adalah dalam bentuk bon, sebelum 1MDB menguasai dua janakuasa tersebut.

"Saya tidak nampak operasi yang dikendalikan oleh Jimah Energy Ventures dan Panglima Power boleh menjejaskan kedudukan pelaburan KWSP kerana ia tidak  secara langsung kepada 1MDB tetapi kepada syarikat yang beroperasi," katanya di Dewan Rakyat Pada Selasa.

Johari berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mengenai bagaimana Kementerian Kewangan dan kerajaan memastikan KWSP tidak terkesan akibat pendedahannya menerusi pelaburan dalam  1MDB.

"Kalau kita tengok, pelaburan KWSP ini sungguh terkawal. Pelaburan yang dibuat kepada Jimah Energy Ventures mempunyai kadar kupon sebanyak 7.7 peratus hingga 9.85 peratus.

"(Manakala) kadar kupon bon pelaburan di Panglima Power antara 8.25 peratus dan 8.35 peratus. Kedudukan (penarafan) kedua-dua bon ini masing-masing pada  AA3 dan AA1," katanya.

Pada Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkta bon RM200 juta yang dilanggan oleh KWSP pada 209 tidak berisiko kerana ia dijamin oleh kerajaan.

Beliau berkata pendedahan KWSP adalah membiayai kedua-dua loji kuasa melalui bon infrastruktur mudah masing-masing pada 2003 dan 2005, sebelum 1MDB mengambil alih syarikat-syarikat berkenaan pada 2012 dan tahun lepas.

KWSP, 1MDB

Artikel Lain