Hong Leong Takaful Rancang Tambah 250 Ejen Di KB

Diterbitkan: Ahad, 18 Oktober 2015 4:14 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Hong Leong MSIG Takaful Bhd (HLM Takaful) akan melantik 250 ejen baharu di Kota Baharu bagi menampung permintaan produk takaful yang semakin meningkat di Kelantan.

Pengerusi HLM Takaful, Tan Sri A Razak Ramli berkata, seiring dengan itu, syarikat akan menggembangkan rangkaiannya dengan pembukaan cawangan baharu di sini.

"Buat masa ini HLM Takaful mempunyai 150 ejen diterajui tiga ketua agensi di Kelantan. Perancangan kami adalah untuk melantik 250 lagi ejen bagi mengembangkan segmen takaful.

"Pembukaan premis baharu di Kota Baru bertepatan dengan tahap permintaan yang tinggi di pasaran pantai timur khususnya Kota Baharu yang inginkan produk takaful sebagai alternatif kepada pelan insuran," katanya kepada pemberita di majlis pembukaan premis baharu HLM Takaful di Wisma Seri Setia di sini, Ahad.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merasmikan pembukaan premis tersebut dan menyampaikan zakat kepada asnaf.

A Razak berkata pelbagai usaha dilakukan dalam mengembangkan konsep takaful di pantai timur termasuk program peluang perniagaan, keusahawanan dengan institusi awam dan pengajian tinggi selain keusahawanan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Ahmad berkata sambutan menggalakkan terhadap produk takaful menunjukkan masyarakat terutama orang Islam semakin memahami dan menyedari mengenai keperluan takaful.

"Masyarakat sekarang lebih menjurus untuk memiliki produk atau instrumen kewangan yang patuh syariah. Peranan HLM Takaful merupakan sebahagian usaha itu di samping memastikan tiada unsur haram seperti riba," katanya.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Hong Leong Takaful , Kota Baru

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan