suria

MSE 2015 Peroleh Jualan Akan Datang Bernilai RM3.27 Bilion

KUALA LUMPUR: Pameran Perkhidmatan Malaysia Ke-4 2015 (MSE 2015) memperoleh RM3.27 bilion dalam jualan akan datang dan peluang perniagaan bagi produk dan perkhidmatan Malaysia.

Penganjur acara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata pameran itu yang berlangsung di Yangon, Myanmar, dari 29 September hingga 4 Oktober, disertai 50 syarikat Malaysia dan menarik lebih 6,000 pengunjung.

Matrade dalam satu kenyataan Jumaat berkata kempen promosi agresif oleh pejabat perdagangannya di Yangon bersama dengan pra-penyaringan potensi rakan kongsi perniagaan dan pembeli membawa hasil positif dengan lebih 1,500 mesyuarat perniagaan diaturkan.

"Potensi peluang jualan dan perniagaan bagi perkhidmatan semasa acara itu dijana daripada projek seperti Projek Laut Utara Myanmar, pembinaan kemudahan kuasa hidro, perkhidmatan pengujian bukan pemusnah, pembinaan bangunan pejabat dan projek usaha sama merangkumi kawasan seluas 10.12 hektar di Yangon dan Mandalay, serta projek pembuatan barang kemas.

"Produk menarik diperoleh semasa acara itu terdiri daripada produk kesihatan hinggalah kepada penyelesaian bagi struktur aluminium," kata Matrade. -- Bernama


MSE, Matrade

Artikel Lain