suria

Caring Pharmacy Akan Tingkatkan Platform E-Dagang

KUALA LUMPUR: Caring Pharmacy Group Bhd merancang untuk menambah baik platform e-dagang seiring dengan permintaan yang semakin bertambah bagi urus niaga barangan penjagaan kesihatan dalam talian.

Pengarah Urusannya, Chong Yeow Siang berkata, syarikat itu mula meneroka dan mengusahakan platform e-dagang dua tahun lepas, apabila mendapat pandangan dan pendedahan memandangkan ia bekerjasama dengan pihak ketiga seperti Rakuten dan Lazada.

"Memandangkan jualan melalui platform itu semakin ketara dan menggalakkan, pada tahun ini dan seterusnya, kami akan terus melabur untuk memperluaskan kapasiti perniagaan e-dagang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu di sini, Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nilai pelaburan tersebut.

Yeow Siang berkata, syarikat akan mempunyai beberapa saluran bagi memastikan kemudahan beli-belah pelanggan.

"Kami mempunyai lebih banyak strategi untuk meningkatkan e-dagang kami yang boleh membantu menjual dan mempromosikan model perniagaan kami di samping menambah pendapatan meskipun persekitaran perniagaan semasa mencabar," katanya.

Beliau berkata syarikat itu berhasrat membuka 10 lagi outlet menjelang akhir tahun kewangan 2016.

Sehingga 31 Mei 2015, ia mempunyai 104 outlet, katanya.

"Ketika ini, kami mungkin mencapai sasaran dengan penggunaan modal RM500,000 bagi setiap outlet," katanya.

Mengenai sama ada harga ubat-ubatan akan naik sekiranya Perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik dilaksanakan, Chong berkata, ia akan bergantung kepada pembuat ubat.

"Terlalu awal untuk mengulas perkara ini kerana kami hanya peruncit. Jika syarikat multinasional menaikkan harganya, kami tiada pilihan melainkan menaikkan juga harganya.

"Mekanisme harga ditentukan oleh syarikat multinasional bukan kami. Harga juga bergantung kepada pasaran ubat," katanya.-- Bernama

Artikel Lain