suria

BSN Peruntuk RM130 Juta Untuk Penjenamaan Semula

Adinan Maning (kiri), Yunos Abd Ghani Kin Meng melihat logo BSN selepas sidang media penjenamaan semula BSN pada Khamis. Foto: NORAFIFI EHSAN/The Star

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) memperuntukkan sebanyak RM130 juta untuk penjenamaan semula korporatnya dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, setakat ini sebanyak 37 daripada 401 cawangan BSN di seluruh negara telah melalui penjenamaan semula.

"Cawangan berwajah baharu ini dilengkapi susun atur dalaman yang menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan keselesaan pelanggan.

"Kita akan melakukan penjenamaan semula secara berperingkat. Kita yakin dapat melaksanakan di semua cawangan dalam tempoh tiga tahun," katanya pada sidang media selepas taklimat media mengenai penjenamaan semula BSN di sini, Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif (Sokongan Korporat) BSN, Siew Kin Meng dan Timbalan Ketua Eksekutif (Perbankan Runcit), Datuk Yunos Abd Ghani.

Adinan berkata, BSN percaya bahawa asas kukuh yang disediakan untuk perkhidmatan perbankan seiring dengan peningkatan permintaan bagi perkhidmatan perbankan bermutu tinggi.

"Selepas 40 tahun, BSN adalah jenama yang terkenal di Malaysia. Namun, ada perbezaan dalam persepsi jenamanya berdasarkan demografik pelanggan yang berbeza.

"Justeru, dengan penjenamaan semula ini, kami yakin identiti jenama baharu ini akan diterima sepenuhnya oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau menambah, BSN mengubah operasinya untuk memberi perkhidmatan kepada komposisi pelanggan yang semakin berkembang.

"Rangkaian dan titik perkhidmatan kami yang baharu dan dinaik taraf dengan memaksimumkan teknologi bagi membolehkan pelanggan menikmati sepenuhnya akses perbankan yang berkualiti dan efisien.

"Kami turut memperluaskan capaian kami menerusi ejen di seluruh negara dan membawa akses perbankan terus kepada lebih ramai rakyat Malaysia di lebih banyak kawasan di seluruh negara," kata Adinan.

Penjenamaan semula BSN memperlihatkan visual identiti baharu yang mengubah warna korporatnya kepada warna 'teal' yang melambangkan kebolehpercayaan dan kebergantungan.

Setakat ini, BSN mempunyai 7,000 kakitangan di 401 cawangan seluruh negara dengan 872 mesin teler automatik (ATM), 372 mesin deposit wang tunai (CDM) dan lebih 6,000 ejen.Sehingga kini, BSN berkhidmat kepada lebih 9.1 juta rakyat Malaysia.

BSN, Penjenamaan Semula, RM130

Artikel Berikut

Artikel Lain