suria

Scania Sasar Peningkatan Jualan 2016 Bagi Wilayah Pantai Timur

KUALA NERUS: Scania (Malaysia) Sdn Bhd, pengeluar trak dan bas, menyasarkan peningkatan jualan antara 10 hingga 15 peratus pada 2016 bagi zon Pantai Timur berbanding jualan antara 120 hingga 130 buah trak dan bas dalam tempoh setahun ketika ini.

Pengurus Wilayah Scania bagi Pantai Timur, Chandra Rajan berkata peningkatan itu adalah relevan memandangkan Scania telah membuka sebuah pusat penyelenggaraan di Gong Badak di sini pada 16 Ogos lepas.

"Sebelum ini, kami hanya mempunyai pusat penyelenggaraan di Kuantan dan Kota Bharu namun ia masih tidak cukup untuk menampung keperluan pelanggan kami terutama untuk perkhidmatan membaik pulih kenderaan yang rosak serta urusan  penyelenggaraan kenderaan.

"Pembukaan pusat khidmat ini sangat tepat pada masanya kerana Terengganu kini semakin maju dan banyak syarikat perindustrian yang menggunakan kenderaan Scania sebagai pengangkut pilihan nombor satu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat khidmat itu oleh Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Ir Mohamad Dalib di sini, Selasa.

Turut hadir Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom.

Harga bagi sebuah bas bergantung kepada spesifikasi yang diingini pelanggan,  pada harga bermula dari RM400,000 hingga RM500,000 manakala bas lengkap dengan ubah suai bahagian dalaman, bernilai lebih RM1 juta seunit.

Pusat penyelenggaraan berkeluasan hampir 4,000 meter persegi itu terdiri dari tiga petak penyelenggaraan dan satu pit yang diselenggarakan oleh juruteknik, penasihat dan pegawai komponen bertauliah dari Scania.

Beliau berkata melalui bantuan dari Pusat Komponen Asia di Singapura, bahagian peralatan tulen Scania juga dapat dibekalkan di pusat penyelenggaraan tersebut dan perkhidmatan Scania Assistance juga disediakan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa henti melalui talian 1-800-08-8500.

"Khidmat kredit melalui Scania Credit (Malaysia) Sdn Bhd juga disediakan untuk pelanggan kami malah mereka juga boleh melanggan khidmat Scania Connected Services yang merangkumi pengenalan kenderaan, latihan pemandu, sokongan pemandu dan Scania Fleet Management di mana pelanggan boleh menikmati prestasi unggul dari kenderaan mereka," katanya.

Kesemua kemudahan tersebut disediakan Scania kepada pelanggan mereka bagi memberi nilai tambah terhadap aspek jualan dan perkhidmatan selepas jualan agar Scania terus kekal menerajui segmen jualan kenderaan berat di dalam pasaran negara ini, katanya.-- Bernama 

Scania, Chandra Rajan

Artikel Lain