suria

Industri Takaful Tawar Peluang Pendapatan Lumayan

KUALA LUMPUR: Perniagaan Takaful boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan memandangkan industri ini kini baru menguasai 14 peratus pasaran di Malaysia, kata Ketua Pegawai Komersial, Keluarga Takaful Ikhlas Bhd Wan Rosli Shaharuddin Wan Yaacob.

Beliau berkata masih banyak peluang boleh dicapai bukan sahaja dalam kalangan warga ejen malah golongan muda yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

"Golongan muda masa kini ramai yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan  dan di Takaful Ikhlas, kami sentiasa mengalu-alukan mereka untuk menjadi usahawan takaful," katanya ketika menjadi tetamu program 'Ruang Bicara' terbitan Bernama TV di sini.

Beliau berkata ejen Takaful Ikhlas yang mencapai sasaran dapat menikmati pelbagai insentif yang ditawarkan antaranya insentif pelancongan serta berpeluang memenangi hadiah wang tunai atau barangan dalam tahun kewangan tersebut.

Takaful Ikhlas menawarkan pelbagai produk menyeluruh bagi pelan takaful am, takaful keluarga dan takaful kumpulan serta penambahan rider-rider kepada produk asas untuk nilai perlindungan produk yang dibeli.

Semasa ditanya mengenai tenaga agensi takaful keluarga, Wan Rosli berkata syarikatnya kini mempunyai 3,000 ejen di seluruh Malaysia dengan 80 orang terdiri daripada Pengurus Agensi Kumpulan manakala 236 orang adalah Pengurus Agensi yang terlibat mengambil ejen baharu.

"Setiap tahun kita akan mengiktiraf ejen-ejen Takaful Ihklas dengan mengadakan majlis anugerah khas untuk pencapaian mereka dalam pelbagai kategori yang ditetapkan," katanya.

Setakat ini, Wan Rosli berkata empat orang ejen berjaya mendapat pengiktirafan ejen peringkat antarabangsa iaitu kalangan ejen terbaik dunia dalam industri melalui anugerah antarabangsa Million Dollar Round Table (MDRT).

Menyentuh kos perubatan yang semakin meningkat, beliau berkata Takaful Ikhlas menawarkan penyelesaian produk perlindungan perubatan yang digabungkan dengan unsur pelaburan bagi menepati cita rasa masyarakat selain mengurangkan bebanan mereka.

"Produk IKHLASlink Secure Takaful yang diperkenalkan sejak April lalu telah mencatatkan kutipan sumbangan berjumlah RM5 juta dengan 10,000 langganan polisi.

"Produk ini disertakan dengan pilihan rider-rider yang melindungi penyakit kritikal, kemalangan peribadi, kemasukan ke hospital dan manfaat pembedahan dengan pembayaran sumbangan berkala dan hanya satu jumlah sumbangan," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Latiff Abu Bakar berkata Takaful Ikhlas turut tidak ketinggalan menggunakan perkembangan teknologi dengan memperkenalkan portal transaksi perniagaan, e-IKHLAS serta aplikasi i-SMART.

"e-IKHLAS yang menawarkan enam produk terpilih merupakan salah satu saluran pemasaran yang semakin mendapat perhatian ramai apabila pelanggan boleh nikmati rebat sehingga 25 peratus bagi setiap langganan sijil apabila melakukan pembelian dalam talian.

"Manakala aplikasi i-SMART adalah tertumpu kepada ejen Takaful Keluarga di mana urusan perniagaan boleh dikendalikan menerusi peranti i-Pad bagi mempermudahkan proses terdahulu yang bersifat manua," katanya.

Katanya, setakat ini lebih daripada 500 ejen syarikat memiliki serta menggunakan aplikasi ini dalam urusan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut, Ab Latiff berkata syarikat telah merekodkan angka 'likes' (pengemar) tertinggi dalam industri Takaful apabila lebih daripada 41,000 angka 'likes' bagi laman sosial 'Facebook-Takaful Ikhlas Bhd' yang dilancarkan Julai lepas.

"Kami menganggarkan angka ini akan terus meningkat dengan kemunculan pelbagai kempen untuk meraih kebolehlihatan jenama di alam maya dengan memasarkan produk dan perkhidmatan," katanya.

Sehingga kini, Takaful Ikhlas mempunyai 13 cawangan pejabat di seluruh Malaysia. 

Takaful. Lumayan

Artikel Lain