suria

Penamaan Eksklusif AirAsia Di Stesen Monorel Bukit Bintang

Benyamin (dua dari kiri) dan Aireen (tengah) pada majlis perasmian Stesen Monorel AirAsia Bukit Bintang di Jalan Sultan Ismail, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia  diberikan penamaan eksklusif bagi Stesen Monorel Bukit Bintang di kawasan segitiga emas di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, penamaan eksklusif itu memberikan peluang kepada syarikat penerbangan itu untuk mempertingkatkan kehadiran jenama dan produk di pusat komersial, membeli-belah, hiburan dan hab pelancongan negara.

"Selain visual destinasi AirAsia dipamerkan di segenap stesen, syarikat penerbangan ini turut menghasilkan beberapa bahan di sini di mana pengguna boleh berinteraksi dan berpeluang memenangi tiket penerbangan.

"Bahan yang disediakan di stesen ini juga direka bagi membolehkan pengguna dan orang awam mendapat pengalaman visual mengenai destinasi dalam rangkaian perkhidmatan AirAsia," katanya selepas melancarkan Stesen Monorel Bukit Bintang AirAsia di sini, Jumaat.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Azmi Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Datuk Mohd Zahir Zahur Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohamed Amin.

Program hak penamaan stesen oleh Prasarana yang pertama di Asia Tenggara, menawarkan peluang kepada syarikat korporat atau jenama membida untuk menukarkan stesen bagi mencerminkan identiti jenama dan menamakannya di stesen tersebut.

Aireen berkata, AirAsia turut menubuhkan pusat jualan di stesen monorel berkenaan, di mana orang ramai boleh menempah tiket, mengubah penerbangan, menambah hidangan dan bagasi serta pemilihan tempat duduk.

"Pusat jualan baharu ini menawarkan potongan 20 peratus bagi laluan terpilih Bangkok, Clarke, Langkawi dan Pulau Pinang bermula 9 sehingga 19 Oktober ini untuk tempoh perjalanan dari 12 Oktober 2015 sehingga 29 Oktober 2016," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aireen berkata, AirAsia kini sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa buat syarikat penerbangan itu.

"Ia merupakan sesuatu yang kami sedang usahakan dengan kerajaan bagi menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa di rantau ini.

"Kita akan melihat sesuatu akan berlaku menjelang akhir tahun ini. Kita akan mengumumkan beberapa destinasi menarik yang kita akan umumkan tidak lama lagi," katanya.

Pada Mac lalu dilaporkan AirAsia berhasrat menjadikan Lapangan Terbang Langkawi sebagai hab antarabangsanya, dengan sasaran sekurang-kurangnya sejuta penumpang.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain