suria

Malaysia Dijangka Kekalkan Dua Juta Tan Stok Minyak Sawit

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap mengekalkan stok minyak sawit sebanyak kira-kira dua juta tan berbanding 2.49 juta tan yang direkodkan pada akhir Ogos dengan melaksanakan insentif penanaman semula dan meminimumkan import.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata insentif penanaman semula, yang akan dilaksanakan mulai 1 Oktober, bertujuan mengurangkan 83,000 hektar kawasan tanaman kelapa sawit, yang akan mengurangkan  pengeluaran sebanyak 250,000 tan.

"Kita juga akan meminimumkan import minyak sawit sehingga stok mencecah kira-kira dua juta tan. Langkah ini merupakan tindakan sementara dan kementerian tidak menetapkan tempoh masa untuk melaksanakan sasaran itu.

"Bagi mengukuhkan harga minyak sawit dalam tempoh masa panjang, Malaysia dan Indonesia, yang bersama-sama menyumbang 85 peratus pengeluaran dunia, juga akan meningkatkan program campuran biodiesel yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada siang media selepas merasmikan Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit (PIPOC) 2015 di sini, Selasa.-- Bernama


Artikel Lain