Standard Chartered Jangka Pertumbuhan Eksport Kukuh - Niaga | mStar

Standard Chartered Jangka Pertumbuhan Eksport Kukuh

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2015 1:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Standard Chartered Global Research menjangkakan pertumbuhan eksport Malaysia yang kukuh bagi Ogos, dan kemungkinan disokong oleh kelemahan pertukaran asing.

"Kami menjangka eksport meningkat 5.8 peratus tahun ke tahun dan lebih daripada 3.5 peratus pada Julai," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota pada Isnin.

Eksport dari segi kuantiti positif bagi asas tahun ke tahun baru-baru ini dengan penghantaran ke AS dan China juga meningkat kukuh pada Julai.

Dari segi produk, eksport elektronik meningkat kukuh pada Jun dan Julai, manakala eksport komoditi merupakan penyokong utama bagi prestasi eksport.

Firma penyelidikan itu percaya kelemahan ringgit berbanding dolar AS juga membantu prestasi eksport pada Julai, dengan data perdagangan dilaporkan dalam terma ringgit.

Import dijangka naik 2.2 peratus tahun ke tahun kerana peningkatan eksport elektronik dijangka memerlukan lebih banyak import barangan perantaraan.

"Kami menjangka lebihan perdagangan meningkat kepada RM6.2 bilion pada Ogos daripada RM2.4 bilion pada Julai," kata firma penyelidikan itu.

Malaysia akan mengeluarkan data perdagangan Ogos pada 7 Okt. 

Tags / Kata Kunci: Standard Chartered
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan