suria

Usahawan Wanita Perlu Tumpu Pada Perniagaan Bukan Jantina

GEORGE TOWN: Sebagai usahawan, wanita tidak perlu memberi tumpuan kepada jantina mereka sebagai wanita, tetapi apa yang penting dalam perniagaan, kata penaung Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (Nawem), Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau berkata untuk menjadi usahawan yang baik, mereka perlu memahami profil pasaran, persaingan serta manifestasi menjalankan perniagaan.

"Saya ingin mengatakan bahawa bukan wanita yang lemah tetapi orang yang kebetulannya adalah wanita itu yang lemah. Anda perlu mempunyai ketabahan dan daya tahan untuk berdepan dan menangani cabaran dalam pasaran dan persekitaran operasi.

"Anda mesti bersedia untuk belajar sesuatu yang baharu dan relevan, tidak setakat hanya berpuas hati dengan apa yang anda ketahui sahaja," katanya dalam ucap tama beliau pada Persidangan Inspirasi Wanita dalam Perniagaan 2015 anjuran Nawem, di sini, Sabtu. Ucap tama beliau disampaikan menerusi rakaman video.

Beliau berkata wanita yang berkecimpung dalam perniagaan bersaiz sederhana mempunyai peluang untuk mengeksploitasikan pasaran Asean.

Rafidah berkata wanita perlu mengambil peluang itu dengan merentas sempadan untuk menjalin kerjasama perniagaan, usaha sama dan penggabungan dalam sektor yang mempunyai potensi besar di beberapa negara anggota Asean.

"Ini adalah perkara yang anda boleh cari sebagai peluang. Pergi ke negara-negara yang belum lagi maju, jadi yang pertama berada di sana, jadi perintis dan kemudian kembangkan pasaran, dan bangunkan segmen pasaran anda sendiri di sana," katanya.

Sementara itu, Rafidah berkata terdapat banyak lagi bahagian yang boleh dieksploitasikan wanita dalam perkhidmatan pendidikan dan perniagaan seperti kesihatan, di mana mereka mempunyai beberapa pandangan.

"Anda tidak perlu pergi kepada wanita juga. Anda boleh pilih sesiapa sahaja dan jalin usaha sama. Lupakan bahawa anda adalah wanita, fikirkan diri anda sebagai seorang ahli perniagaan. Apabila anda pergi ke bank, mereka bukan bercakap pasal anda sebagai seorang wanita tetapi tentang cadangan perniagaan anda," katanya.

Nawem, Asean

Artikel Berikut

Artikel Lain