Melaka Mampu Jadi Nadi Penting Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2015 3:13 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan perjanjian persefahaman 'Friendly State' antara Gabenor Wilayah Guangdong Zhu Xiaodan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Isnin. Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ( belakang Idris), Utusan Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Ong Ka Ting (kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong dan Duta Besar China ke Malaysia Dr Huang Huikang (kanan).

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Melaka mampu menjadi nadi penting dalam hasrat China membangunkan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, terutama menerusi hubungan yang telah terjalin antara Melaka dan wilayah Guangdong di negara itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata Melaka juga mempunyai kedudukan strategik di Asia Tenggara yang mampu menjadi pemangkin dalam kegiatan perdagangan di laluan tersebut.

"Langkah Guangdong yang memilih sendiri Melaka sebagai komponen penting dalam melaksanakan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 itu memperlihatkan  pentingnya Melaka dalam inisiatif itu.

"Sejarah membuktikan bahawa Melaka telah menjadi nadi penting dalam perdagangan di Laluan Sutera Maritim, malah Zheng He yang telah tujuh kali belayar merentas laluan itu dan singgah lima kali di Melaka, saya fikir ternyata  ada perkara yang baik di Melaka," katanya kepada Bernama di sini.

Pada 21 September lepas, Melaka dan Guangdong memeterai memorandum persefahaman bagi pewujudan Negeri dan Wilayah Persahabatan bagi terus memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama kedua-dua pihak.

Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 merupakan antara dua komponen pelan pembangunan 'One Belt, One Road', dengan 'Silk Road Economic Belt' dilaksanakan China bagi membangunkan kerjasama negara-negara Eurasia, terutama dalam bidang perdagangan.

Bagi menyediakan Melaka sebagai nadi penting Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, Idris berkata Melaka perlu kembali mengukuhkan pelabuhannya seperti zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

Malah menurut beliau, Gabenor Wilayah Guangdong Zhu Xiodan yang mengadakan lawatan kerja ke Melaka baru-baru ini, telah menyatakan minat dalam projek pembangunan pelabuhan pelancongan dan perindustrian maritim di Melaka.

"Dengan teknologi dunia sekarang, pembinaan pelabuhan kini lebih efisien dan efektif, kebanyakannya menggunakan pelantar terapung.

"Kita lihat (pembinaan pelabuhan seperti itu) boleh berlaku dalam tempoh  singkat antara 18 dan 24 bulan, dan pelabuhan itu boleh terima kapal lebih 500,000 tan, saya lihat perkara seperti ini perlu berlaku di Melaka," katanya.

Idris berkata Melaka telah merangka pelan sistematik dalam hubungan dengan Guangdong dalam memastikan hubungan itu mampu menjadi pemangkin dalam Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21.

Menurut beliau hubungan Melaka dan Guangdong akan dijalin secara berperingkat dengan meletak penanda aras yang perlu dicapai pada setiap peringkat.

Bagi melaksanakan perkara itu, Kerajaan Negeri Melaka mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pemandu Hubungan Persahabatan Melaka-Guangdong yang dipengerusikannya dan dianggotai agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Selain itu, kerajaan negeri juga mewujudkan portfolio baharu, perdagangan antarabangsa, yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Lim Ban Hong.

Idris berkata hubungan Melaka-Guangdong juga telah meraih pulangan lebih RM2 bilion melalui tujuh memorandum persefahaman yang dimeterai syarikat dari Malaysia dan China pada 19 Sept lepas di sini.

"Saya lihat jika perancangan dirangka berjalan lancar, kita mampu dapat tidak kurang RM10 bilion. Bagaimanapun ini bukan masa kita mendabik dada, kita perlu bekerja keras dan terus bergerak ke hadapan bagi memastikan Melaka mampu menjadi nadi penting dalam Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Idris Haron , Melaka , Laluan Sutera Maritim

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan