suria

AmBank Sasar 60,000 Akaun Perbankan Runcit Baharu Menjelang Mac 2016

KUALA LUMPUR: AmBank (M) Bhd menyasarkan 60,000 akaun baharu di bawah segmen perbankan runcitnya sebelum tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2016, peningkatan sekali ganda berbanding sasaran awal 30,000 akaun baharu.

Pemangku Ketua Perbankan Runcitnya, Anthony Chin berkata, peningkatan sasaran itu berikutan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.

"Sasaran akan disumbang oleh akaun simpanan serta akaun kad kredit dan debit," katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi kad debit MasterCard True dan kad kredit Visa TRUE baharu AmBank, di sini, Jumaat.

Chin berkata, hasil promosi menerusi cawangan dan laman sesawang, sebanyak 17,000 akaun kad TRUE dibuka setakat ini.

"Prapelancarannya tiga bulan lepas dan kad ini dicipta untuk segmen profesional muda," katanya.

Segmen perbankan runcit menyumbang antara 30 dan 35 peratus kepada perolehan kumpulan.

Chin berkata di sebalik senario ekonomi yang mencabar sekarang, bank itu yakin produknya relevan dengan keadaan pasaran.

Bank juga diunjur memperkenalkan dua lagi produk runcit menjelang hujung tahun ini dalam usahanya untuk kekal berdaya saing.

AmBank menyampaikan hadiah RM150,000 kepada profesional muda yang telah menyumbang idea dan aspirasi dalam Kempen Potensi TRUE yang diadakan dari 6 Jan hingga 31 Mac lalu.

TRUE merupakan penyelesaian perbankan AmBank bagi golongan profesional muda berusia antara 25 dan 34 tahun. -- Bernama

AmBank, akaun perbankan runcit

Artikel Lain