suria

Toyo Ink Hampir Muktamadkan Perjanjian Stesen Janakuasa Di Vietnam

KUALA LUMPUR: Pengeluar dakwat pencetakan, Toyo Ink Group, kini semakin hampir memuktamadkan empat perjanjian akhir sebelum memulakan projek stesen jana kuasa di Vietnam.

Pengarah Urusannya, Song Kok Cheong berkata syarikat itu mula menimbang mempelbagaikan perniagaan kepada penjanaan kuasa kira-kira lapan tahun lalu dan menghabiskan banyak masa menjalankan kajian daya maju dan penyelidikan fizikal bagi projek itu di Vietnam.

Beliau berkata, syarikat itu menerima kelulusan daripada kerajaan Vietnam pada 2012 untuk melabur dalam stesen jana kuasa termal berkuasa arang batu 2,000MW bagi asas bina-kendali-pindah (BOT) untuk tempoh 25 tahun bermula 2021.

"Syarikat sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian bagi pajakan tanah, bekalan arang batu, BOT dan perjanjian stesen jana kuasa (PPA) yang dijangka selesai pada suku pertama 2016.

"Selepas dua-tiga bulan PPA, kami menjangka pihak berkuasa mengeluarkan lesen pelaburan, kemudiannya barulah kami akan mulakan dengan syarikat pelaburan tujuan khas," katanya. Kok Cheong berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan dan luar biasa syarikat di sini, Selasa.

Beliau berkata, projek itu dijangka menelan kos sehingga AS$3.5 bilion.

Secara individu syarikat itu tidak mampu melaksanakannya sendirian dan justeru ia mempelawa beberapa peneraju industri kuasa untuk menjalin usaha sama, katanya.

"Beberapa pihak telah melahirkan minat dan lembaga pengarah akan memilih rakan kongsi yang akan menyediakan nilai terbaik kepada pemegang saham," katanya.

Mengenai pembiayaan, beliau berkata, kira-kira 20 peratus dijangka disumbangkan daripada dana dalaman syarikat dan selebihnya menerusi hutang. 

Projek itu dijangka menjana hasil kira-kira US$970 juta setahun bermula 2021, katanya.

Di pasaran tempatan, Kok Cheong berkata, industri pencetakan dan pembungkusan semakin merosot di tengah-tengah era pendigitalan.

"Ini juga memberi kesan kepada perniagaan pembekal dakwat," katanya.

Kok Cheong berkata, penurunan nilai ringgit juga menyumbang kepada kenaikan kos bahan mentah dan ini memberi kesan kepada syarikat.

"Syarikat masih yakin akan meraih keuntungan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2016, dengan pelbagai langkah mengurangkan kos dan usaha berterusan untuk menambah baik rangkaian pengedaran," katanya.-- Bernama


Toyo Ink, Vietnam, Song Kok Cheong

Artikel Sebelum

Artikel Lain