suria

Matrade, CIDB Anjur Padanan Perniagaan Syarikat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) baru-baru ini menganjurkan sesi padanan perniagaan untuk 48 syarikat Malaysia.

Sesi berkenaan berlangsung sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan merupakan sebahagian daripada aktiviti promosi Matrade menerusi Program Misi Membeli.

Matrade dalam kenyataannya hari ini berkata 131 pertemuan perniagaan sudah diatur dengan projek dan bekalan perkhidmatan serta produk bernilai RM3.47 bilion, yang kini sedang diperhalusi oleh syarikat-syarikat Malaysia.

"Sejumlah 24 wakil perniagaan dari Kemboja, Kenya, Pakistan, Vietnam, Jepun, Myanmar, Trinidad dan Tobago dan Amerika Syarikat menyertai sesi berkenaan," katanya.

Antara jenis perkhidmatan dan produk yang disumber oleh pembeli asing meliputi kepakaran dalam pembinaan jalan, perkhidmatan perundingan kejuruteraan dan perkhidmatan reka bentuk seni bina.

Program itu merupakan sesi kedua padanan perniagaan anjuran Matrade sempena ICW 2015.

Sepanjang tahun 2015, sejumlah 116 aktiviti mempromosi perdagangan dijalankan di 46 negara dalam sektor bernilai tinggi termasuk pembinaan, minyak dan gas, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa.-- Bernama

Matrade, CIDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain