suria

Cradle Fund Sasarkan 70 Peratus Pembiayaan Untuk Pelaburan Bersama Ekuiti

Nazrin Hassan

PETALING JAYA: Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, menyasarkan 70 peratus daripada peruntukan pembiayaan untuk disalurkan kepada usaha pelaburan bersama ekuiti dan baki 30 peratus lagi sebagai geran langsung pada akhir 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan berkata inisiatif pelaburan bersama itu dibuat bagi mengurangkan pergantungan kepada geran kerajaan dalam pembiayaan awal syarikat permulaan.

Pelaburan bersama juga akan menyediakan usahawan teknologi Malaysia dengan sokongan yang lebih kukuh melalui penglibatan rakan kongsi yang akan membantu mereka memasuki pasaran global, katanya.

"Sekarang ini, kami mempunyai 10 rakan kongsi dengan nilai pelaburan bersama sebanyak RM57 juta dan kami mahu menambah 11 lagi, bagi mencapai sasaran 21 perkongsian menjelang akhir tahun ini.

"Kami agak yakin bahawa pada tahun ini saiz pembiayaan pelaburan kami akan mencecah RM100 juta," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Forum Ekonomi Belia Dunia di sini, Sabtu.

Cradle Fund kini menguruskan dana berjumlah kira-kira RM127 juta seperti  pelaburan bersama (RM57 juta), peruntukan kerajaan untuk 2015 (RM30 juta) dan modal teroka (RM40 juta).

Nazrin berkata walaupun wujud persekitaran yang mencabar termasuk ringgit yang lemah berbanding dolar AS, ini tidak bermakna, semuanya harus perlahan.

Sekarang merupakan masa terbaik bagi syarikat-syarikat yang sedang  meningkatkan pelaburan dan menarik pelabur asing kerana dengan nilai ringgit yang lemah, ini menarik minat mereka ke atas syarikat Malaysia.

"Kita perlu menekankan bahawa dalam mana-mana kelembapan dan pemulihan, akan ada pemenang dan pihak yang kalah, dan ada beberapa prospek di mana orang akan berjaya dalam menguruskan kos mereka termasuklah menggunakan apa sahaja peluang," kata Nazrin.

Untuk pembentangan bajet akan datang, beliau ingin melihat penambahan insentif cukai diberikan kepada sektor swasta bagi mendorong lebih banyak syarikat melabur dalam syarikat permulaan teknologi dan bagi meningkatkan pembiayaan usaha sama di pasaran.

Beliau berkata ini adalah selaras dengan usaha Cradle Fund untuk meningkatkan lagi pelaburan swasta dalam syarikat permulaan.-- Bernama

Cradle Fund, Nazrin Hassan

Artikel Berikut

Artikel Lain