suria

CIMB Terus Memimpin Dalam Produk Derivatif/Berstruktur Di Asean

KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB menang enam anugerah pada  'Anugerah Perbankan Swasta, Pengurusan Kekayaan dan Pelaburan The Asset Triple A, 2015, sekali gus meneruskan kepimpinannya dalam Produk Derivatif dan Berstruktur di Asean.

Anugerah terbabit ialah Rumah Derivatif Terbaik Malaysia; Rumah Produk Berstruktur Terbaik Malaysia; Rumah Produk Berstruktur Terbaik Indonesia; Rumah Produk Berstruktur Terbaik Thailand; Rumah Derivatif Kredit Terbaik Malaysia; dan Produk Pelaburan Berstruktur Terbaik - Komoditi (Produk Emas Berstruktur boleh tukar dan berbalik).

Ketua Eksekutif Kumpulan Tengku Datuk Zafrul Aziz berkata anugerah itu membuktikan daya tahan dan kapasiti berterusan CIMB untuk bangkit memenuhi cabaran bagi meningkatkan pasaran, dan pada masa yang sama memenuhi kehendak  pelanggannya yang merupakan pemacu utama dalam pembangunan produk.

"Saya bangga kerana CIMB sekali lagi melakar kepimpinan dan kepakaran luar biasa dalam pasaran di Asean menerusi inovasi dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran pasaran dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kawal aturan," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

The Asset, kumpulan penerbitan kewangan utama di Asia Pasifik, mempunyai capaian meluas dalam kalangan penerbit Asia dan pelabur institusi dunia yang aktif di rantau ini.-- Bernama

CIMB, Asean

Artikel Sebelum

Artikel Lain