suria

Khazanah Tambah RM6.77 Bilion Dalam Pelaburan Domestik

PUTRAJAYA: Khazanah Nasional Bhd melaksana usaha mempercepatkan dan meningkatkan pelaburan domestik dalam tempoh segera dan jangka sederhana dalam beberapa sektor utama dengan menyuntik RM6.77 bilion lagi.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Khazanah berkata projek-projek dan inisiatif dijalankan melalui anak syarikat, syarikat-syarikat pelaburan utama dan program pelaburan, termasuk ValueCap Sdn Bhd dan TM Bhd.

Khazanah berkata syarikat telah meningkatkan peruntukan program Skim Latihan1Malaysia (SL1M) kepada 15,000 peserta daripada 10,000 peserta pada 2015 seiring dengan saranan kerajaan (daripada keseluruhan program SL1M berjumlah 4,500peserta pada 2014) dengan anggaran kos sebanyak RM95 juta setahun.

Inisiatif lain termasuk Dana Teroka Pelancongan baharu sebanyak RM50 juta untuk pengusaha pelancongan berkelayakan dalam sub-sektor eko-pelancongan dan pelancongan budaya/warisan.

Khazanah juga mengumumkan perniagaan hospital pemulihan pesakit dengan pelaburan berjumlah kira-kira RM100 juta dalam tempoh dua tahun akan datang sehingga 2017, bersama-sama dengan pengendali teknikal asing dan rakan kongsi ekuiti untuk membawa masuk amalan terbaik dunia.

Khazanah berkata ia telah melaksanakan strategi pelaburan seimbang diperingkat domestik dan antarabangsa.

Antara Mei 2004 dan Disember 2014, dana pelaburan strategik kerajaan itu mencatatkan peningkatan dalam portfolio Nilai Bersih Diselaraskan daripada RM33.3 bilion kepada RM110.7 bilion.

Menurut syarikat itu, keuntungan, nyata dan tidak nyata, disumbangkan oleh pelaburan domestik dan antarabangsa.

"Melabur di peringkat antarabangsa telah menjadi sebahagiannya dan telah dimandatkan oleh keperluan untuk meningkatkan kedudukan serantau dan global pelaburan kita dari segi kepelbagaian portfolio.

"Ia juga akan mendapat akses kepada teknologi, rangkaian dan membina hubungan dua hala ekonomi dengan bahagian-bahagian lain di dunia," kata Khazanah.

Sehingga 31 Ogos 2015, pelaburan langsung luar negara berjumlah 17.8 peratus daripada portfolio Nilai Aset Nyata Khazanah berjumlah RM139.0 bilion.

"Dalam konteks langkah proaktif diumumkan Perdana Menteri pada Isnin, Khazanah mengulangi komitmen untuk mengkaji semula dan, di mana sesuai, untuk merangka pilihan pelaburan antarabangsa bagi menyokong langkah itu," katanya.

Pada masa yang sama, Khazanah berkata syarikat akan terus melaksanakan strategi pelaburan sederhana dan jangka panjang yang seimbang, termasuk dana sesuai dan dalam pelaburan antarabangsa dengan cara teratur seperti yang dimandatkan dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Khazanah.

Khazanah Nasional Bhd