suria

Penyusutan Nilai Ringgit Dalam Kawalan - Moody's

KUALA LUMPUR: Kesan langsung daripada penyusutan nilai ringgit tidak banyak menjejaskan hutang negara berdasarkan perkadaran hutang kerajaan yang rendah dalam mata wang asing, kata Moody's Investors Service.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Penyelidikan Moody's Rahul Ghosh berkata penyusutan nilai ringgit tidak banyak memberi kesan ke atas hutang negara (A3 positif), bank-bank dan korporat, walaupun ia menunjukkan persekitaran yang semakin lemah.

"Kami melihat kejatuhan nilai ringgit sebagai petunjuk daripada penurunan pendapatan eksport, aliran keluar modal, dan sentimen pelabur yang semakin lemah terhadap Malaysia.

"Ini memberi kesan negatif ke atas penampan kredit utama seperti lebihan akaun semasa, rizab asing, dan trajektori pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Dari segi kelemahan tukaran asing, Moody's berkata pinjaman mata wang asing dan hutang mata wang asing oleh bank-bank Malaysia hanya menyumbang sebahagian kecil daripada lembaran imbangan mereka secara keseluruhan.

Moody's menjangkakan korporat yang dinilainya mempunyai lindung nilai semula jadi dan lebih baik dan fleksibel walaupun pembiayaan luarnya terdedah kepada nilai ringgit yang lebih lemah.

"Bagaimanapun, harga Brent mentah dan minyak sawit yang rendah akan  menjejaskan penjanaan dan pendapatan pengeluar komoditi," katanya.

Pandangan Moody's ini dibentangkan pada Inside ASEAN pertama - Tumpuan kepada acara yang dijayakan Malaysia baru-baru ini, yang bertumpu ke atas kesan turun naik dalam pasaran kredit Malaysia.

Laporan hari ini juga memuatkan keputusan pengundian lebih 150 hadirin yang dikaji selidik oleh Moody's mengenai isu-isu utama negara.

Ia berkata majoriti peserta pasaran yang dikaji menjangkakan ringgit dan harga minyak akan stabil, 44 peratus menjangkakan ringgit akan kekal dalam jajaran kecil antara 4.00-4.50 berbanding dolar US, dan 62 peratus menjangkakan purata harga Brent mentah antara US$45-US$55 setong dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Pengundian menunjukkan bahawa peserta pasaran masih melihat kelembapan pertumbuhan China (Aa3 stabil) sebagai risiko terbesar bagi bank-bank Malaysia, diikuti penyusutan ringgit.

"Daripada perspektif Moody's, pendedahan langsung bank-bank Malaysia ke China adalah terhad, namun memberi tekanan ke atas kualiti aset domestik, memandangkan pendedahan eksport Malaysia di tanah besar (China)," kata laporan itu.

Moody's, Ringgit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain