suria

You Dun Chao Healthcare Products Yakin Catat Jualan Lebih RM5 Juta Tahun Ini

SEREMBAN: You Dun Chao Healthcare Products Sdn Bhd, syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan daun belalai gajah, yakin dapat mencatat jualan lebih RM5 juta tahun ini, didokong permintaan tinggi dari China.

Pengarah Eksekutifnya, Hazmi Haron berkata, setakat Ogos lepas, syarikat berjaya mencatat jualan RM2 juta.

"Syarikat sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan sebuah syarikat di China untuk memasarkan produk keluaran kami di China, Macau, Taiwan dan Hong Kong.

"Kami menjangka mulai Oktober ini satu daripada produk kami, iaitu minuman daun belalai gajah akan mula dieksport ke China," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, selain passran China dan tempatan, produk keluaran syarikat itu juga mendapat permintaan dari AS, Perancis, Korea, Afrika dan Mexico.

Hazmi berkata, pihaknya merancang membuka ladang daun belalai gajah seluas 121.406 hektar, bagi menampung permintaan tinggi, terutama dari China.

"Kami menjangka tidak kurang satu juta tin minuman daun belalai gajah akan dieksport ke negara tersebut.

"Pelanggan dari China lebih berminat dengan daun kering dan minuman daun belalai gajah," katanya, sambil menjelaskan nama You Dun Chao dipilih kerana ingin menarik pasaran negara itu.

Beliau berkata syarikat merancang membuka ladang seluas 121.406 hektar di sekitar daerah Rembau.

"Kami tidak mahu membuka satu ladang sahaja kerana apabila ada tanaman yang terkena jangkitan, ia tidak akan merebak kepada tanaman lain dan sekali gus dapat mengurangkan kerugian," katanya.

Ketika ini syarikat mempunyai ladang daun belalai gajah seluas 4.04686 hektar di Sendayan dan boleh menghasilkan 1.2 tan metrik daun kering sebulan.

Hazmi berkata, pihaknya akan menawarkan perladangan kontrak kepada mereka yang berminat dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

"Di samping itu, kami juga merancang membuka agrotourism di ladang tersebut seperti inap desa di mana pelanggan berpeluang merasai suasana terapi sambil minum air daun belalai gajah yang segar," katanya.

Untuk masa depan, Hazmi berkata, beliau merancang menyenaraikan syarikatnya di papan kedua Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, syarikat juga merancang mengeluarkan produk berbentuk kopi dan biskut yang berasaskan daun belalai gajah tahun ini, katanya.

Enam produk yang berjaya dihasilkan ialah minuman daun belalai gajah, teh daun belalai gajah, kapsul daun belalai gajah, pati daun belalai gajah, dan minuman daun belalai gajah campuran epal dan lemon.

Setakat ini syarikat mempunyai 10 stokis dan 50 pengedar aktif di seluruh negara.

Daun belalai gajah dipercayai mampu membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser, buah pinggang, radang prostat, kolesterol, tekanan darah tinggi, asid urik tinggi, diabetes, mengurangkan risiko saluran darah tersumbat, membuang toksin dalam badan di samping mengurangkan keletihan.-- Bernama







You Dun Chao, Hazmi Haron

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain