Kumpulan CIMB Akan Umum CEO Baharu CIMB Islamic

Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2015 10:34 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB dijangka mengumumkan ketua Pegawai eksekutif (CEO) baharu bagi CIMB Islamic pada akhir September ini dan bagi CIMB Bank dalam tahun ini juga, kata Ketua Eksekutif Kumpulan Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Kami telah memulakan proses mencari pengganti dan kami berharap dapat mengumumkannya dalam masa terdekat. Proses masih sedang berjalan.

"Kami tidak mempunyai garis masa (untuk memuktamadkan calon, namun lebih cepat lebih baik," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan suku kedua kumpulan di sini, Jumaat.

Beliau berkata kumpulan itu menjangka dapat memuktamadkan CEO CIMB Islamic lebih awal daripada CEO bagi CIMB Bank.

Mengenai sama ada kekosongan jawatan itu akan memberikan kesan kepada perniagaan kumpulan, beliau berkata, "Tidak. Kerana sebagai sebuah bank, kami adalah sebuah institusi di mana kami mempunyai orang untuk mengendalikan perniagaan."

Tengku Zafrul berkata kumpulan itu telah menyenarai pendek beberapa calon berpotensi terdiri daripada sumber dalaman dan juga luaran bagi jawatan dalam  CIMB Islamic.

Ditanya mengenai prospek ringgit, beliau percaya mata wang tempatan ketika ini berada di bawah nilai dalam pasaran pertukaran asing disebabkan oleh sentimen pengguna dan juga perniagaan.

"Pakar ekonomi kami berpendapat jajaran penilaian antara 3.70 dan 3.80 berbanding dolar AS," katanya.

Tags / Kata Kunci: CIMB , CIMB Islamic , CEO

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan