suria

Terengganu Mahu Lahir 1,000 Usahawan Baharu Tahun Ini

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyasar untuk melahirkan kira-kira 1,000 usahawan baharu tahun ini berbanding sasaran awal 700 orang, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud.

Beliau berkata, tahun lalu seramai 762 usahawan baharu dilahirkan berbanding sasaran awal seramai 500 orang.

"Peningkatan ini disebabkan banyak faktor antaranya pemerkasaan dari segi jaringan perniagaan di mana semua jabatan dan agensi berkaitan keusahawanan saling membantu dan bekerjasama agar bantuan kepada usahawan dapat disalurkan secara terurus dan tepat kepada golongan sasaran.

"Selain itu, usahawan turut didedahkan dengan latihan bimbingan kemahiran termasuk dari aspek pemasaran, pembangunan kualiti produk dan jaringan pemasaran untuk memasuki pasaran global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keusahawanan Kebangsaan Politeknik Malaysia di sini, Jumaat. 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar dan Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Radiah Che Su. 

Roslee berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) juga melancarkan Program Graduan Usahawan Terengganu melibatkan 100 graduan tahun ini yang mereka dilatih dalam pelbagai aspek sebelum mampu mempunyai perniagaan sendiri.

"Pelbagai program keusahawanan dijalankan untuk memberi pendedahan kepada belia khususnya mengenai pembiayaan dan pinjaman yang boleh mereka perolehi dari jabatan dan agensi berkaitan.

"Ini termasuk kemudahan yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corp, Tekun, YPU dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Yang penting mereka sendiri perlu mempunyai komitmen tinggi untuk bergelar usahawan," katanya. 

Katanya program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) yang dikendalikan SME Corp juga adalah antara penyumbang kepada peningkatan bilangan usahawan di Terengganu. -- Bernama

Roslee Daud, Terengganu, usahawan

Artikel Sebelum

Artikel Lain