suria

Terengganu Swastakan Lembah Kaprima Kepada Lapan Anak Jati

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menswastakan projek Lembah Kaprima kepada lapan anak jati negeri tersebut bagi merealisasikan matlamat menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluar kambing terbesar negara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Projek Lembah Kaprima tersebut ialah di Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, Kampung Cabang, Kerteh (Kemaman), Segading (Hulu Besut), Hulu Seladang dan Telaga Papan (Setiu), Durian Mentangau (Dungun), Tanjung Gaduh (Marang) dan Mengabang Bakong (Kuala Nerus).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Komuditi negeri Nawi Mohamad berkata projek berkenaan yang bermula sejak 2006 kini pada peringkat pelaksanaan fasa ketiga setelah fasa pertama dan kedua iaitu penyediaan infrastruktur berjalan lancar.

"Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM13 juta untuk penyediaan infrastruktur seperti jalan dan kandang untuk ternakan kambing ini.

"Sekarang, kita swastakan projek ini kepada pengusaha dalam bentuk sewaan kandang yang mana setiap lembah kaprima mempunyai lima kandang dan setiap kandang disewa dengan harga RM200 sebulan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjanjian antara Pengusaha Lembah Kaprima dan Kerajaan Negeri di sini, Khamis.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Dr Abd Razak Mohd Zailan.

Nawi berkata hasil sewaan daripada pengusaha tersebut akan diagihkan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dan tergolong dalam kategori penerima E-Kasih di Terengganu.

"Setiap lembah ada lima kandang dan kita ada lapan lembah, bermakna kita akan dapat RM8,000 setiap bulan untuk diagihkan kepada penerima E-Kasih.

"Kita harap selepas ini hasrat untuk negeri menjadi hab pengeluar kambing terbesar negara tercapai," katanya.

Sementara itu Abd Razak berkata bagi memastikan projek ternakan kambing tersebut berjaya, pihaknya akan bekerjasama dengan memberikan bimbingan dan kemahiran kepada pengusaha di setiap daerah terlibat bagi memastikan projek ini berjalan lancar.-- Bernama

Lembah Kaprima, Terengganu

Artikel Lain