suria

Malaysia Capai Tahap Tertinggi Keterangkuman Kewangan

Zeti Akhtar (tengah) bersama pakar ekonomi kanan dunia yang membentangkan laporan kewangan di BNM, Khamis.

KUALA LUMPUR: Malaysia mencapai tahap tertinggi keterangkuman kewangan di kalangan negara Asia Tenggara, menurut laporan Bank Dunia.

Menurut laporan tersebut, pencapaian itu sebahagiannya disebabkan telefon mudah alih dan ejen perbankan yang mengambil kesempatan daripada dasar yang ada untuk memperluaskan aksesnya.

"Teknologi boleh memainkan peranan yang kuat dalam membawa orang ramai ke sistem perbankan dan membawa mereka keluar daripada kemiskinan.

"Kejayaan Malaysia dalam keterangkuman kewangan adalah model kepada negara-negara membangun di seluruh dunia," kata Pengarah Negara Bank Dunia, Ulrich Zachau.

Laporan ini telah dibincangkan dalam persidangan: Launch of Global Findex Database 2014, Measuring Financial Inclusion Around The World  yang diadakan di Bank Negara Malaysia di sini, Khamis.

Turut hadir Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. Ia dibentangkan oleh Pengarang Bersama Global Findex 2014, Peter Van Oudheusden dan Pakar Ekonomi Kewangan Kanan, Dr Jose De Luna Martinez.

Pakar-pakar Bank Dunia ketika berucap di majlis pelancaran Findex Global 2014 berkata, penyumbang utama kepada kejayaan pembangunan Malaysia ialah sektor kewangan yang inovatif, berdaya tahan dan inklusif.

Findex Global 2014, ialah laporan komprehensif mengenai rangkuman kewangan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia setiap tiga tahun di mana ia mengukur bagaimana individu di 143 negara menyimpan, meminjam, membuat bayaran dan mengurus risiko dan mendapati rangkuman kewangan Malaysia pada 81 peratus.

"Malaysia, Singapura dan Thailand mendahului kadar terkerangkuman Asean, dengan kira-kira empat atau lima dewasa mendapat manfaat daripada akses kepada perkhidmatan kewangan dan mampu menyimpan, meminjam dan menguruskan risiko.

"Dari 2011-2014, pemilikan akaun untuk 40 peratus isi rumah dewasa paling miskin di Malaysia meningkat 26 peratus dari 50 peratus kepada 76 peratus," menurut laporan.

Dalam tempoh sama, 700 juta penduduk dunia menjadi pemegang akaun di bank-bank, institusi kewangan lain atau pembekal perkhidmatan wang mudah alih, dan bilangan individu tidak memiliki akaun bank turun 20 peratus kepada dua bilion, kata laporan itu.

Sementara itu, Oudheusden berkata, masih terdapat ruang untuk Malaysia memperbaiki kedudukannya dari segi keterangkuman kewangan.

"Masih ada ruang untuk mempertingkatkannya walaupun Malaysia telah melakukan yang terbaik dari segi membuat bayaran.

"Penggunaan akaun boleh diperluaskan lagi, sebagai contoh untuk membayar yuran sekolah di mana bank boleh membangunkan produk untuk memproses yuran," katanya.

Martinez pula berkata, hampir setiap orang di seluruh dunia menggunakan telefon pintar yang digunakan untuk membuat transaksi kewangan.

"Telefon pintar dan teknologi telah menembusi perkhidmatan kewangan.

"Orang ramai boleh menjimatkan wang, malah dalam sesetengah kes mereka menggunakannya untuk membuat pinjaman," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain