suria

Perdagangan Dengan India Menguntungkan Malaysia

NEW DELHI: Imbangan perdagangan antara Malaysia dan India terus memihak kepada Malaysia pada separuh pertama 2015, dengan jumlah perdagangan dan eksport, masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus dan 3.9 peratus.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mazlan Harunin Mumbai, berkata walaupun persekitaran luaran yang sukar, trend ini dijangka berterusan tetapi pada kadar yang lebih perlahan untuk sepanjang tahun ini.

India akan terus menjadi pasaran yang sangat penting dan kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.

"Perdagangan dua hala Malaysia-India telah meningkat lebih daripada tiga kali ganda sejak lebih 10 tahun yang lalu dan imbangan perdagangan tersebut sentiasa memihak kepada Malaysia. Dengan pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia India (MICECA), perdagangan dua hala ini telah berkembang pesat dengan 17.97 peratus daripada 2011 hingga 2014," kata Mazlan.

Pada 2014, perdagangan Malaysia dengan India berkembang sebanyak 7.5 peratus kepada US$45.24 bilion (RM185.48 bilion) daripada US$42.08 bilion (RM172.53 bilion) dalam 2013, dirangsang oleh prestasi eksport yang lebih baik, menjadikan India sebagai rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia.

India juga merupakan destinasi eksport terbesar kelapan Malaysia dengan eksport yang semakin meningkat iaitu sebanyak 23.9 peratus kepada US$31.9 bilion (RM130.79 bilion) pada 2014, hasil daripada kenaikan eksport minyak kelapa sawit, petroleum mentah, produk elektrik dan elektronik serta produk bahan kimia. India juga telah menjadi pengimport minyak kelapa sawit yang terbesar dari Malaysia

Mazlan ketika memetik data daripada Jabatan Dasar Perindustrian dan Promosi (DIPP), Kementerian Perniagaan dan Industri India, berkata Malaysia merupakan pelabur yang ke-23 terbesar di India dari April 2000 hingga Februari 2015 dengan jumlah pelaburan sebanyak US$732.77 juta (RM3 bilion).

Bagaimanapun, angka itu tidak termasuk aliran yang besar daripada pelaburan Malaysia melalui penubuhan di negara-negara ketiga yang akan membawa kepada pelaburan terkumpul Malaysia melebihi US$6 bilion (RM24.6 bilion).

Pelaburan Malaysia di India banyak melibatkan tenaga bukan konvensional, pembinaan, industri metalurgi, perkhidmatan, tenaga dan telekomunikasi.

Projek penting dengan penglibatan syarikat-syarikat Malaysia termasuk Mumbai Monorail, loji kuasa di Chhattisgarh, Pusat Civic MCD di New Delhi, Koridor Pengangkutan Barat di Karnataka, lapangan terbang di New Delhi, lapangan terbang dan projek pembangunan bercampur di Hyderabad serta First City di Nagpur.

Katanya, secara keseluruhan, syarikat Malaysia telah menyiapkan 81 projek bernilai US$3.8 bilion (RM15.58 bilion), dengan 14 projek bernilai US$1.61 bilion(RM6.6 bilion) masih di pelbagai peringkat penyiapan.

India, Malaysia

Artikel Lain