suria

Johor Yakin Capai Sasaran RM500 Juta Pelaburan Sektor Bioteknologi

KUALA LUMPUR: Johor yakin dapat mencapai sasaran RM500 juta dalam pelaburan berasaskan bioteknologi tahun ini memandangkan setakat ini negeri itu telah berjaya menarik pelaburan RM430 juta dalam sektor itu.

Menteri Besarnya, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata Johor juga bakal menyaksikan pembukaan kawasan perindustrian bioteknologi pertama di negeri itu, Johor Biotech Park, susulan permeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang UM Land Bhd dan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech).

"Johor meletakkan sasaran dalam usaha membangunkan dan memajukan sektor bioteknologi.

"Kita perlu mempelbagaikan tumpuan dalam membangunkan ekonomi dan bukan semata-mata tertumpu kepada sektor hartanah dan perindustrian" katanya kepada pemberita selepas merasmikan pavilion Johor di Pameran BioMalaysian 2015 di sini, Selasa.

Beliau berkata perkembangan sektor bioteknologi di Johor adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kemakmuran dan taraf hidup rakyat negeri itu.

"Tahun lepas, kita berjaya menarik pelaburan bagi sektor ini sebanyak RM37.5 juta," kata Mohamed Khaled.

Jelasnya lagi kerajaan negeri Johor telah menyediakan pelbagai ekosistem dalam menyemarakkan lagi sektor bioteknologi, termasuk melatih pekerja  berkemahiran dan berkelayakan dalam menyokong pertumbuhan sektor tersebut.

Antaranya termasuklah melalui J-Biotalent, program modal insan dan latihan yang merupakan usaha perkongsian teknologi antara institut pengajian tinggi serta sektor korporat yang melatih tenaga kerja berkelayakan dan berkemahiran bagi memastikan syarikat yang melabur akan disokong oleh tenaga kerja tempatan.

"Kita berhasrat untuk melatih 1,600 tenaga kerja dan sehingga kini kita telah berjaya melatih 750 pekerja bagi menyokong industri ini," katanya.

Tambahnya lagi antara kemudahan lain yang disediakan dalam ekosistem ini ialah makmal Halalan Toyyiban yang memberi nilai tambah kepada produk yang dikeluarkan bagi memenuhi permintaan masyarakat.

Pada majlis itu Mohamed Khaled turut menyaksikan pertukaran MoU bagi Program 'Pembangunan Pemangkin Johor Biotech Park dan Transformasi Felda Cahaya Baru', Pasir Gudang.

Projek tersebut yang terletak di kawasan seluas 141.64 hektar akan dibangunkan secara berperingkat melalui tiga fasa, yang mana fasa pertama mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM180 juta.

Bioteknologi, Johor

Artikel Lain