suria

PUNB Lulus Pinjaman RM5.1 Juta Kepada Usahawan Sarawak

KUCHING: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)  meluluskan pinjaman RM5.1 juta kepada 14 usahawan di Sarawak untuk tempoh tahun lepas dan tahun ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak RM40.5 juta pinjaman telah diluluskan kepada usahawan PUNB di negeri ini yang membabitkan seramai 51 orang.

Bilangan usahawan PUNB di Sarawak adalah kurang berbanding di negeri lain, katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan cek pinjaman tersebut kepada 14 usahawan berkenaan di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, katanya beliau menggesa lebih ramai usahawan Bumiputera di negeri ini tampil menjadi usahawan PUNB supaya mereka boleh diberi kemudahan pinjaman kewangan dan khidmat nasihat untuk memperkasakan perniagaan mereka.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sangat serius dalam usaha memperkasakan usahawan Bumiputera dan seharusnya golongan tersebut merebut peluang yang disediakan kerajaan menerusi PUNB," katanya.

Ali berkata kini terdapat lebih 5,000 usahawan PUNB di seluruh negara.

Beliau turut menyeru kepada usahawan Bumiputera supaya memanfaatkan peluang perniagaan daripada kelembapan ekonomi dan kenaikan nilai mata wang dolar AS ketika ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata selain menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera, PUNB juga mahu menghasilkan ramai usahawan yang berkualiti dan berjaya.

Katanya untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, usahawan harus bergabung dan bersatu, meluaskan rangkaian perniagaan dan melahirkan idea yang kreatIf dan inovatif untuk memperkasakan perniagaan mereka.-- Bernama

PUNB, Sarawak, Ali Rustam

Artikel Lain