suria

RM1 Bilion Perluas Dermaga, Kemudahan Di KBS Menerusi Pelan 5 Tahun EPIC

KUALA TERENGGANU: Syarikat penyedia perkhidmatan sokongan kepada industri minyak dan gas serta pelabuhan Kemaman, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memperuntukkan pelaburan RM1 bilion bagi memperluaskan Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Telok Kalong Kemaman bermula tahun ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, menerusi pelan pembangunan lima tahun berakhir 2020 itu, pihaknya merancang untuk meluaskan kawasan dermaga termasuk tambahan gudang dan fasiliti sehingga kira-kira satu kilometer panjang.

Katanya menyedari industri tersebut sememangnya menjanjikan peluang yang besar, kerajaan negeri memberi 'lampu hijau' kepada pengurusan EPIC mempertingkatkan kemampuan semasa dan infrastruktur sedia ada di pelabuhan tersebut, sekali gus meningkatkan perolehan syarikat.

"Industri ini sememangnya memberikan peluang lebih besar. Justeru kita tidak teragak-agak untuk membuat pelaburan RM1 bilion kepada KSB untuk memperluaskan dan menyediakan tambahan infrastruktur.

"Kita jangka akan diperluaskan lagi kira-kira 1 kilometer panjang bagi dermaga, tambahan gudang serta fasiliti darat seperti kren," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara dua anak syarikat EPIC, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) dan Sukma Samudra Sdn Bhd (SSSB) dengan Kemaman Bitumen Company Sdn Bhd (KBC) untuk penyediaan perkhidmatan dan fasiliti pelabuhan Kemaman, di sebuah hotel di sini.

Turut hadir Pengerusi Syarikat Kumpulan EPIC Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut; Pengarah Urusan Kumpulan EPIC Berhad Noor Fadzil Mohamed Nor; Pengerusi KSB Sdn Bhd Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC Berhad Wan Shukri Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif KBC Sanjay Grover serta Ketua Pegawai Eksekutif SSSB Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Terdapat dua bahagian pengurusan di Pelabuhan Kemaman iaitu KPKSB, pengendali Dermaga Timur dan jeti bahan kimia, sementara SSSB mengendalikan Dermaga Barat.

KBC yang membekal dan memasarkan produk berasaskan petroleum terutama bitumen untuk kegunaan sektor industri di Malaysia merupakan syarikat miliki Tipco Asphalt Public Company Limited (Thailand) dan diperbadankan di Malaysia pada 2003. Bitumen yang dihasilkan oleh KBC dipasarkan di rantau Asia seperti Kemboja, Australia, Indonesia, Thailand dan juga di Malaysia.

Selain KSB, EPIC yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri memiliki lima lagi anak syarikat iaitu KPKSB, SSSB, EPIC Mushtari Engineering Sdn Bhd, Tubex Sdn Bhd dan Eastern Pacific Properties Sdn Bhd.

Ketika ini tiga dermaga sedia ada di KSB sepanjang satu kilometer. Terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, ia merupakan antara pelabuhan terdalam di negara ini selepas Pelabuhan Labuan berkemampuan menerima kapal 150,000 tan berat muatan.

Ahmad Razif berkata, menerusi pembangunan sedia ada di KSB itu, pihaknya kini melihat pertambahan segala kemudahan dan infrastruktur wajar berikutan permintaan tinggi daripada pihak industri yang berurusan dengan EPIC dan hasil daripada itu akan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan.

Menurutnya lagi, dengan perjanjian terkini, KSB menandatangani 14 perjanjian setakat ini pada tahun ini termasuk 12 perjanjian dengan kontraktor perkongsian pengeluaran yang menjadikan keseluruhan nilai perjanjian sebanyak RM1 bilion bagi projek dalam lima tahun.

Kontraktor berkenaan ialah Petronas Carigali Sdn Bhd; Exxon Mobil Exploration  and  Production Incorporated; Talisman Malaysia Limited; Lundin Malaysia B.V.; Petrofac Energy Development Sdn Bhd; Petrofac (Malaysia-PM304) Limited; Hess Exploration  and  Production Malaysia Inc; Carigali Hess Operating Company Sdn Bhd; Vestigo Petroleum Sdn Bhd; Coastal Energy Sdn Bhd; EQ Petroleum Production Malaysia Ltd dan Sapura Kencana Energy Peninsula Malaysia Ltd.

Ahmad Razif juga meminta EPIC melihat keperluan untuk mewujudkan lokasi baharu bagi industri berkonsepkan minyak dan gas terutama di Pulau Duyung di sini diikuti sekitar Seberang Takir di Kuala Nerus.-- Bernama

Artikel Lain