suria

The Star Bekerjasama Dengan redONE

Farid (kiri) bersama Chun Wai ketika melancarkan kerjasama ePaper dengan rangkaian redONE pada Khamis.

PETALING JAYA: Pembaca The Star kini mempunyai akses lebih pantas dan mudah untuk mendapatkan bahan berita daripada akhbar berbahasa inggeris itu berikutan kerjasama antara Kumpulan Media Star Berhad dan rangkaian redONE.

redONE, penyedia perkhidmatan mudah alih pasca bayar melalui "phone bundle program", akan membenarkan pengguna mengakses e-paper tanpa yuran tahunan yang bernilai RM180.

Pelanggan yang mendaftar untuk program 'phone bundle' dengan sekurang-kurangnya 3GB data, akan dibenarkan memuat turun replika kepada versi cetak The Star ke peranti mereka.

Ini boleh dilakukan melalui aplikasi 'paper mobile' yang boleh didapati di Google Play dan Apple App.

Program itu telah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Media Star Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai di ibu pejabat redONE di Puchong pada Khamis.

Berhubung kerjasama itu, Farid berkata, ia merupakan yang pertama disebalik pelbagai lagi kerjasama yang akan dilakukan selepas ini.

"Kami faham, ketika ini internet sering dipenuhi spekulasi dan peranan media tradisional menjadi amat penting.

"Kami berharap melalui kerjasama ini, kita akan dapat meningkatkan langganan e-paper sebanyak 100,000 lagi," katanya.

Sementara itu Chun Wai memberitahu, ia merupakan kerjasama pertama dilakukan oleh The Star dengan syarikat yang tidak terlibat dengan media.

"Ketika kita mula-mula melancarkan e-paper pada 2012, ramai yang ragu-ragu dan skeptikal terhadap kita tetapi dengan promosi yang agresif akhirnya kita telah mencapai paras 100,000 langganan e-paper ketika ini," katanya.

Malah terdapat lebih 1,000 buah universiti dan perpustakaan tempatan dan di seluruh dunia kini melanggan e-paper The Star.



The Star, redONE

Artikel Lain